Pantun di Dewan Rakyat umum Pengerusi PN baharu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pelantikan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baru, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar diumumkan di Dewan Rakyat menerusi satu pantun disampaikan oleh Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok).

Pantun empat kerat itu dibuat ketika mengakhiri ucapannya pada sesi perbahasan Rang Undang-undang (RUU Pemberian Mengikut Bilangan Orang 2026 hari ini dan turut merakam ucapkan terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

- Advertisement -

Beliau berkata, pelantikan Ahli Parlimen Kemaman itu mempunyai kaitan rapat dengan agenda hak wilayah termasuk dalam pertikaian isu royalti dan federalisme, apatah lagi jawatannya sebagai Menteri Besar Terengganu.

“Saya akhiri dengan serangkap pantun Yang Dipertua, tahniah Kemaman Pengerusi PN baharu, terima kasih Pagoh atas khidmat bakti, hak negeri dijamin selalu, demi keadilan tanah pertiwi, sekian terima kasih,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Menteri Besar Terengganu, diumumkan sebagai Pengerusi PN yang baharu mengantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perkara itu disahkan melalui kenyataan bersama oleh empat presiden parti komponen gabungan berkenaan selepas Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, di sini semalam.

Terdahulu dalam ucapan perbahasan, Mohd Syahir menyambut baik langkah kerajaan melaksanakan RUU tersebut yang bakal memberi sedikit kelapangan bagi kerajaan negeri bagi menyusun perbelanjaan dan pembangunan rakyat.

Malah sebelum ini beliau pernah membangkitkan saranan agar kerajaan menyemak semula kadar geran perkapitan yang termaktub di bawah Jaduan Ke-10 Perlembagaan Persekutuan, di mana kali terakhir dibuat hampir 24 tahun lalu.

“Semakan ini dibuat bagi menyesuaikan dengan keadaan dan keperluan kewangan semasa yang dihadapi oleh negeri-negeri khususnya peningkatan kadar inflasi dan pertambahan populasi serta kenaikan belanja mengurus.

“Perkara ini saya bangkitkan bukan sekadar melihat kepada keperluan kewangan yang dihadapi negeri-negeri tetapi lebih besar lagi, ketulusan persekutuan menghormati hak negeri negeri dan semangat federalisme,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/2/2026

- Advertisement -