
KUANTAN: Jabatan Amal Malaysia Kawasan Indera Mahkota menerima kepercayaan keluarga mangsa tragedi bunuh baru-baru ini untuk melaksanakan kerja pembersihan di kediaman kejadian di Cherating.
Ketua Operasinya, Muhammad Isa Deraman berkata, keluarga terbabit menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab itu kepada pihaknya bagi menjaga maruah serta privasi mereka.
Menurut beliau, keluarga berkenaan mengetahui Jabatan Amal mempunyai unit khas pembersihan berdasarkan pengalaman terdahulu termasuk ketika menguruskan rumah mangsa banjir.
“Cuma kali ini keadaannya agak berbeza kerana ia melibatkan tragedi yang menyentuh sensitiviti keluarga. Atas dasar itu, kami diberi kepercayaan untuk melaksanakan misi mencuci rumah berkenaan,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.
Turut turun meninjau Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, Dato’ Andansura Rabu yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang.
Seramai 25 wakil Jabatan Amal beserta lima bomba Gebeng terlibat dalam operasi tersebut yang bermula pada pukul 8.30 pagi dan selesai kira-kira 12.30 tengah hari.
Muhamad Isa berkata, sebelum kerja-kerja pembersihan dimulakan, pihaknya melaungkan azan sebagai tanda memohon keberkatan dan kelancaran urusan,
Mereka turut memberi ruang kepada tuan rumah masuk terlebih dahulu untuk meninjau keadaan serta memaklumkan perkara yang perlu diberi perhatian.
“Selepas tuan rumah memberikan sedikit taklimat dan barulah kami memulakan kerja. Kami juga membaca beberapa ayat al-Quran sebagai ikhtiar dan memohon dipermudahkan urusan,” katanya.
Beliau yang pertama kali mengurus kerja mencabar itu berkata, pihaknya telah berbincang lebih awal agar tiada sebarang gambar atau video dirakam sepanjang operasi berlangsung bagi menghormati keluarga mangsa.
“Secara peribadi memang ada rasa gementar untuk masuk, namun atas dasar tanggungjawab dan kepercayaan yang diberikan, kami laksanakan amanah ini sebaik mungkin.
“Kalau kami tidak bantu, agak sukar untuk keluarga menguruskan sendiri,” ujarnya.
Beliau berharap usaha itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga dalam menghadapi ujian berat yang menimpa mereka. – HARAKAHDAILY 22/2/2026












