Tanda besar dan serius apabila Dr Sam dilantik Pengerusi PN

- Advertisement -

BARU selesai berlangsung Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi Perikatan Nasional di Pejabat Agung PAS jam 3.00 petang tadi. Agenda utamanya ialah mengesahkan perletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN bermula 1 Januari 2026 dan melantik penggantinya yang baharu. Mesyuarat dihadiri oleh semua presiden parti-parti dalam gabungan PN dan semua ahli Majlis Tertinggi PN.

Dalam masa kira-kira 30 minit, kedua-dua agenda penting itu, telah dipersetujui untuk melantik Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (Dr Sam) sebagai Pengerusi PN yang baharu secara sebulat suara. Dalam hierarki kepimpinan, ia seolah-olah menunjukkan kepada rakyat Malaysia bahawa inilah PM Malaysia yang baharu jika ditakdirkan Allah, PN memenangi PRU-16 nanti.

Ini adalah tanda besar dan serius, tawaran dari PN kepada rakyat Malaysia bagi menghadapi PRU-16 yang dijangka tidak lama lagi akan diadakan setelah tempoh mandat yang diberikan kepada PH, bakal berakhir pada November 2027. Pada kebiasaan mengikut rekod, persiapan PRU di Malaysia, jangka masa yang sesuai bagi persiapan ialah sekitar dua tahun sebelum penggal berakhir.

- Advertisement -

Bagaimana Dr Sam dikenali

Jika diimbas kembali, nama Dr Sam tidak begitu dikenali di persada politik tanah air sebelum 2018. Dan apabila PAS Terengganu memutuskan untuk membawa beliau yang ketika itu berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Presiden PAS sebagai calon Menteri Besar Terengganu, Dr Sam mula diperkenalkan kepada rakyat.

PAS mendapat kemenangan besar di Terengganu dengan berjaya memenangi 22 kerusi, sekaligus menjadi kerajaan mutlak dengan mendapat kuasa dua pertiga. Dr Sam bersama dengan barisan Exco yang dilantik dan juga kerja keras dari ADUN-ADUN yang berjaya memberikan khidmat cemerlang kepada rakyat, dengan izin Allah telah mengotakan 20 tawaran manifesto PAS kepada rakyat Terengganu. Rakyat menjadi kagum dengan pencapaian ini.

Dengan kejayaan itu, alhamdulillah PAS Terengganu sekali lagi diberikan kepercayaan oleh rakyat, kali ini dengan ‘landslide victory’ pada tahun 2023, menang 32 kerusi Dun dan lapan kerusi Parlimen. Menyapu bersih kesemua kerusi yang dipertandingkan. Ia adalah satu rekod bagi PAS di bumi Darul Iman. Nama Dr Sam melonjak di kalangan rakyat kerana berjaya menguruskan negeri dengan jayanya.

Character assassination

Berbagai usaha pembunuhan karakter beliau oleh musuh-musuh politik, tetapi tidak berjaya sepenuhnya. Sehinggalah datangnya PRK Kemaman 2023, beliau diangkat oleh PAS sebagai calon Parlimen Kemaman. Tanpa diduga, ada gelombang besar dari rakyat bawah yang mencanangkan Dr Sam sebagai PM-11. Beliau menang lebih besar dengan menambah majoriti.

Bermula dari episod inilah, serangan demi serangan telah dihalakan kepada beliau. Kita faham antara sebabnya ialah kerana gelombang rakyat yang mahukan beliau menjadi PM-11 itu mesti disekat. Maka, secara mudah menurut teori politik, hapuskan hasrat rakyat untuk mengangkat Dr Sam sebagai calon PM-11. Cemarkan nama baiknya, serang kerajaannya, sekat bantuan, malukan beliau dan banyak lagi, sebagaimana yang kita tahu ia berlaku.

Sehingga kepada satu peringkat, saya dinasihatkan agar tidak terlalu menonjolkan peribadi Dr Sam dalam penulisan saya kerana mahu mengurangkan tekanan yang beliau hadapi. Dr Sam mahu lebih fokus kepada negeri. Dengan sekatan yang sangat ketat terhadap pentadbiran negeri oleh pusat, Dr Sam diakui menghadapi kekangan untuk menguruskan negeri dengan baik.

Sehingga sekarang, beliau terpaksa banyak berlembut bagi mengendurkan ketegangan yang mana PAS tahu akibat dari tindak balas pusat itu, rakyat Terengganu yang akan menerima akibatnya. Oleh itu, mengalah demi rakyat adalah pilihan terbaik bagi mentadbir negeri. Alhamdulillah jalan ini lebih memberikan manafaat kepada rakyat.

Namun sekarang, beliau menerima perlantikan sebagai Pengerusi PN ini tanpa bantahan. Ini adalah arahan PAS kepada beliau. Sebagai seorang yang mentaati arahan jemaah, beliau sanggup menghadapi tekanan dari serangan yang bakal dihadapi beliau nanti. Apapun yang terjadi, ini adalah pertembungan bagi merampas Malaysia dari kepimpinan PH yang kita semua maklum akan kegagalan pentadbirannya.

Titik perubahan bermula di sini

Dengan segala kepalsuan janji-janji PH dalam banyak isu, termasuk berkenaan penghapusan rasuah yang akhirnya terburai kerana ia juga didakwa berlaku dalam pentadbiran dan melibatkan pimpinan PH, maka tiada apa lagi harapan yang tinggal. Ia hanya retorik PH.

Rakyat yang bijak sangat faham dan akan menanti Dr Sam yang sudah membuktikan apabila mempunyai sumber yang cukup tanpa sekatan, mampu mentadbir negeri dengan begitu baik dan amanah. Titik perubahan akan dilaksanakan.

Malah beliau disukai oleh sesetengah golongan atas pagar yang agak prejudis dengan ulama dalam PAS. Walaupun sudah terbukti di Kelantan dan Terengganu sebelum ini, ulama memerintah dengan penuh amanah dan tanggungjawab. Dan sehingga selepas 36 tahun, tiada satupun kes salah laku atau pecah amanah yang dikenakan hukuman kepada pimpinan PAS. Semoga beliau menjadi jambatan antara rakyat yang ragu-ragu dengan PAS.

Saya teringat satu cerita berkenaan arahan satu misi yang amat sukar yang dikeluarkan oleh jeneral kepada seorang pegawai terbaik kepercayaannya dalam satu perang. Pegawai terbaik itu diarahkan untuk menyerang sebuah jambatan disiang hari yang dipenuhi dengan musuh, kerana jika jambatan itu berjaya dikuasai, musuh akan dikalahkan.

Lalu bertanya pegawai terbaik itu.

“Adakah tuan mahukan saya melakukan misi mustahil ini dengan menyerang dan menguasai jambatan itu, di siang hari sebegini?,”

“Ya. Dan sebab itulah aku memilih kamu,” Jawab jeneral dengan jelas dan tegas kerana kepercayaan tinggi dan dia mengenali pegawai terbaiknya yang berkebolehan membuka kepada kemenangan.

Oleh itu, kepada rakyat Malaysia, sambutlah kesanggupan Dr Sam menerima jawatan Pengerusi PN yang kita tahu beliau bakal menghadapi tekanan yang begitu hebat. Akan tetapi demi Malaysia yang lebih baik, beliau sanggup menerimanya. Dan lihatlah betapa tinggi keyakinan terhadap kemampuan beliau apabila pemilihan beliau itu dipersetujui sebulat suara oleh semua presiden parti gabungan PN dan jawatankuasanya.

Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah untuk dikurniakan kebaikan dalam lantikan ini dan memberikan sokongan padu kepada beliau.

MOHD NASIR ABDULLAH
22 Februari 2026 – HARAKAHDAILY 22/2/2026

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -