PAS utama selamatkan Perikatan Nasional – Presiden PAS

Tuan Guru Abdul Hadi Awang
- Advertisement -

MARANG: Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memaklumkan keutamaan PAS ketika ini adalah untuk menyelamatkan Perikatan Nasional (PN) susulan kemelut membabitkan kepimpinan pembangkang.

- Advertisement -

Beliau berkata, perkara berhubung kedudukan Ketua Pembangkang serta jawatan Pengerusi PN akan dibincangkan dalam mesyuarat parti yang dijadual diadakan dalam masa terdekat.

“Kita akan bincang dalam mesyuarat PAS, insya-Allah sehari dua lagi,” katanya yang juga Ahli Parlimen Marang ketika ditemui media selepas Kuliah Dhuha, di Masjid Rusila, di sini hari ini.

Ditanya kemungkinan berlaku perbezaan pandangan sekiranya BERSATU tidak bersetuju dengan sebarang keputusan, beliau berkata, setakat ini tiada keputusan dibuat dan semua perkara masih dalam penelitian.

Mengulas mengenai hasrat PAS mengambil alih peranan dalam PN, beliau mengakui parti itu berhasrat untuk memimpin gabungan berkenaan.

“Memang kita berhasrat nak ambil alih Perikatan Nasional, tetapi untuk Ketua Pembangkang belum ada keputusan lagi,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau mengesahkan kedua-dua pemimpin utama BERSATU iaitu bekas Timbalan Presiden parti itu, Dato’ Seri Hamzah Zainuddin dan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ada menemuinya baru-baru ini.

“Kedua-dua pihak jumpa saya. Masing-masing ada pendapat dan hujah masing-masing, saya dengar semuanya dan kita mahu selesaikan,” katanya.

Mengulas kemungkinan penubuhan parti baharu oleh Hamzah, Tuan Guru menyerahkan perkara itu kepada pemimpin berkenaan, namun menegaskan PAS berpandangan keutamaan ketika ini adalah memastikan PN terus kukuh.

“Kita nak selamatkan Perikatan Nasional dulu, kerana PAS berpendapat untuk memerintah negara mesti melibatkan semua pihak,” katanya.

Terdahulu, BERSATU dilaporkan memecat 17 ahlinya membabitkan beberapa pemimpin Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu, termasuk empat Ahli Parlimen dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Mereka ialah Timbalan Presiden merangkap Ahli Parlimen Larut dan Ketua Pembangkang Parlimen, Dato’ Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad; Ahli Parlimen Padang Rengas, Kapten Azahari Hasan; Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob.

ADUN Sungai Manik merangkap Ahli MPT, Dato’ Zainol Fadzi Paharudin; ADUN Bemban merangkap Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub dan Setiausaha BERSATU Sabah merangkap Ketua BERSATU Libaran, Yunus Nurdin.

Selain itu, Ketua BERSATU Teluk Intan Kamaruddin Majid; Ahmad Ishak (Gopeng); Mohd Hassundi Hamzah (Larut) dan Mhod Yunus Mhd Yusop (Tapah); Ahmad Nasir Mid (Selayang); Datuk Zulkifli Bujang (Johor Bahru); Ramlan Meon (Tangga Batu) dan Datuk Abdul Aziz Ismail (Dungun).

Turut dipecat ialah Ketua Srikandi Muda BERSATU Sabah, Nabila Norsahar dan Ketua Penerangan BERSATU Hulu Langat, Mohamad Shafiq Abdul Halim.

Keahlian mereka dipecat kerana melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan BERSATU, selain berhak mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari dari tarikh surat berkenaan dikemukakan. – HARAKAHDAILY 20/2/2026

- Advertisement -