5 negara hantar tentera, HAMAS enggan lucutkan senjata

- Advertisement -

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan bahawa sekurang-kurangnya lima negara ahli Board of Peace (Lembaga Keamanan) telah menyatakan persetujuan untuk menghantar tentera bagi menyertai Pasukan Penstabilan Antarabangsa ke wilayah Palestin di Semenanjung Gaza.

- Advertisement -

Trump dalsm kenyataannya berkata bahawa Indonesia, Maghribi, Kazakhstan, Kosovo dan Albania telah berjanji untuk mengerahkan tentera bagi menyertai pasukan berkenaan, sementara Mesir dan Jordan komited melatih anggota polis untuk menyokong usaha keselamatan di Gaza.

Menurut laporan AP, penempatan awal pasukan itu dijangka bermula di Rafah, sebuah pusat penduduk utama yang akan menjadi tumpuan awal usaha pembinaan semula oleh pentadbiran AS.

Trump juga mengumumkan sembilan negara telah berikrar menjanjikan AS$7 bilion bagi pakej bantuan Gaza, iaitu Kazakhstan, Azerbaijan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Maghribi, Bahrain, Qatar, Arab Saudi, Uzbekistan dan Kuwait.

“Setiap dolar yang dibelanjakan adalah pelaburan dalam kestabilan dan harapan (wilayah) yang baharu dan harmoni,” kata Trump ketika mengucapkan terima kasih kepada negara-negara penderma pada mesyuarat Board of Peace (atau Lembaga Keamanan) yang julung-julung kali diadakan, di sini, pada Khamis, 19 Februari 2026 (waktu tempatan).

Trump mendakwa, Board of Peace akan menunjukkan bagaimana masa depan lebih baik boleh dibina melalui kerjasama antarabangsa.

Walaupun signifikan, jumlah AS$7 bilion itu hanya sebahagian kecil daripada anggaran AS$70 bilion yang diperlukan untuk membina semula Gaza selepas dua tahun konflik.

Sehubungan itu, Trump turut mengumumkan bahawa AS menjanjikan tambahan AS$10 bilion untuk Board of Peace, namun tidak memperincikan tujuan khusus dana berkenaan.

Ketua Pasukan Penstabilan Antarabangsa yang baru diwujudkan, Mejar Jeneral Jasper Jeffers berkata pelan itu memerlukan kira-kira 20,000 askar dan 12,000 anggota polis bagi memastikan keselamatan serta kestabilan di Gaza.

Inti utama perbincangan ialah penubuhan pasukan penstabilan antarabangsa bersenjata bagi menjamin keselamatan serta memastikan pelucutan senjata kumpulan pejuang Islam Palestin, HAMAS; yang merupakan tuntutan utama Israel dan asas kepada perjanjian gencatan senjata sebelum ini.

Namun, HAMAS dilaporkan tidak memberikan keyakinan tinggi bahawa ia bersedia untuk meneruskan proses pelucutan senjata.

Seorang pegawai kanan AS yang enggan dikenali berkata, pentadbiran Trump ‘tidak berkhayal tentang cabaran demiliterisasi’, namun tetap berasa ia digalakkan dengan laporan daripada pihak pengantara.

Setiausaha Negara, Marco Rubio pula, dalam ucapannya kepada mesyuarat itu berkata, perjalanan masih panjang untuk pembinaan semula Gaza.

“Terdapat banyak kerja yang masih perlu dilakukan yang memerlukan sumbangan setiap negara bangsa yang diwakili di sini hari ini,” katanya.

Terdahulu, Setiausaha Negara Vatican, Pietro Parolin, memberitahu media awal minggu ini bahawa di peringkat antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang sepatutnya menguruskan situasi krisis berkenaan.

Namun, pentadbiran Trump pada Rabu menolak kebimbangan yang dibangkitkan Vatican, di tengah-tengah spekulasi bahawa Lembaga Keamanan baharu itu berpotensi menjadi saingan kepada PBB.

Trump sendiri menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan lembaga itu akan membantu menjadikan PBB lebih berdaya maju pada masa hadapan.

“Suatu hari nanti saya tidak akan berada di sini. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu akan berada di sini. Saya fikir ia akan menjadi lebih kuat,” katanya.

Menurut laporan media antarabangsa sebelum ini, Board of Peace diwujudkan sebagai sebahagian daripada pelan damai 20 perkara Trump untuk menamatkan konflik Gaza.

Namun sejak gencatan senjata Oktober lalu, visinya diperluas dengan mandat lebih bercita-cita tinggi; bukan sahaja membantu keamanan antara Israel dan HAMAS, malah berperanan dalam menangani konflik lebih luas.

Lebih 40 negara dan Kesatuan Eropah (EU)mengesahkan menghantar pegawai ke mesyuarat tersebut dan sekurang-kurangnya 36 negara telah bersetuju menjadi ahli Board of Peace.

Antara pemimpin yang hadir pada mesyuarat itu ialah Presiden Indonesia, Prabowo Subianto; Presiden Argentina. Javier Milei; dan Perdana Menteri Hungary, Viktor Orbán.
Majlis Keselamatan PBB turut mengadakan mesyuarat peringkat tinggi di New York sehari sebelumnya bagi membincangkan mengenai isu gencatan senjata Gaza serta usaha Israel meluaskan kawalan di Tebing Barat.

Ketika usaha diplomatik diteruskan, kestabilan perjanjian gencatan senjata masih rapuh, dan persoalan utama kekal sama; sama ada HAMAS bersedia melucutkan senjata sebagai prasyarat kepada keamanan berkekalan di Gaza. – HARAKAHDAILY 20/2/2026

CAP: Prabowo (dua dari kiri) pada sesi ‘roundtable Business Summit’ dalam rangka kunjungan kerjanya sempena mesyuarat pertama Board of Peace di Washington, Amerika Syarikat.

- Advertisement -