
MENGAMATI ucapan Menteri Besar Selangor beberapa hari lepas yang membodohkan sosok ilmuan negara ini, aku menarik nafas yang panjang, bergetar rasa marah. Ironinya, apabila adab, budaya santun, menghormati yang lebih tua dan yang lebih alim tiada dalam korpus perjuangan PKR, sebuah parti yang tumbuh daripada semangat jalanan jeritan reformasi pasca pemecatan Anwar pada tahun 1998. Menghampiri tiga dekad perjuangan parti berasaskan karisma seorang tokoh ini, rasanya tiada agenda reformasi yang dilaksanakan secara tuntas, bergelut dengan pelbagai isu dalaman, bahkan menjadi parti yang rakus memunggah kekayaan.
Jeritan ‘bodoh’ ditujukan kepada insan yang sekian lama menggalang amanah dan tanggungjawab mencerdaskan akal anak bangsa serta memanusiakan manusia di tanah watan ini. Kita berpesan kepada Menteri Besar Selangor ‘kail panjang sejengkal’ ini agar merenung bumi yang dipijak walaupun berada di atas hierarki pentadbiran Selangor.
Jangan bersikap kurang ajar, berkarakter melampau, hilang adab dengan insan yang berjasa. Orang Melayu cukup pantang dengan kelompok ‘cakap main hembus’.
Perkataan ‘bodoh’ yang dilontarkan dengan nada tinggi dalam Kongres PKR Selangor kepada Dato’ Dr Abdul Halim Tamuri, Pesuruhjaya PAS Selangor yang juga ADUN Paya Jaras sangat tidak manusiawi; ‘demo tak kenal barey, Mir’ ungkap orang Kelantan yang menghuni Shah Alam, Gombak, Pandan, Puchong, Klang, Kajang dan serata tempat lagi. Diaspora rakyat Kelantan yang juga pemangkin kekuatan PAS di Selangor ini membentuk kumpulan kelas menengah Melayu di negeri Selangor.
Dr Halim Tamuri bukan seorang insan yang calang-calang kualiti. Mantan profesor universiti yang telah mencetak ribuan anak didik, malah terlibat dalam menentukan dasar pendidikan negara ini. Dalam organisasi PAS, penulis menganggap sosok ini sebagai abang dalam perjuangan.
Minggu lepas, dalam permukiman PAS Pusat di Bangi, Selangor, beliau menghentikan penulis untuk berucap panjang semasa sesi soal jawab dengan Tan Sri Tuan Guru Presiden. Terasa dikerdilkan tetapi tidak sampaikan dua puluh minit dia sudah berada di tepi meja penulis dengan senyuman istimewa dan rasional mengapa tidak perlu penghuraian kepada soalan. Hati sepantas kilat menjadi tenang. Itulah kualiti seorang pemimpin, kata-katanya menyerap nurani, mendamaikan sukma, justifikasinya ditelan dengan mudah. Bukan semua orang dilahirkan untuk menjadi pemimpin. Anak Jawa Sabak Bernam ini menonjolkan bakat kepimpinan sejak zaman sekolah, memimpin mahasiswa di Fakulti Pengajian Islam dan Majlis Perwakilan Pelajar kampus UKM.
Dr Halim adalah seorang ilmuan yang memegang pelbagai jawatan di institut pengajian tinggi dalam dan luar negara. Beliau mantan Rektor Kolej Universiti Islam Selangor, panel Majlis Dakwah Nasional, Presiden Intelektual Muslim Malaysia dan juga lembaga pemegang amanah Akademi Islam Universiti Cambridge, UK.
Ada puluhan jawatan lagi jawatan ADUN Paya Jaras ini dalam sektor pendidikan dalam dan luar negara. Malah beliau salah seorang ahli dalam jawatankuasa reformasi pendidikan negara. Kepakarannya diakui kawan dan lawan, buku-buku penulisan Dr Halim menjadi rujukan pelajar-pelajar kampus terutamanya dalam bidang pendidikan.
Bakat, tendensi, keilmuan serta kegeniusan beliau dimanfaatkan oleh istana Selangor. Anak kampung bergaya sederhana ini juga pernah memegang jawatan penting dalam badan agama Islam di negeri Selangor seperti MAIS.
Beliau berdoktorat daripada kampus Universiti Birmingham dalam Pengajian Islam. Beliau pernah menjadi ahli Majlis Fatwa Selangor, ahli Jawatankuasa Khutbah Selangor, Pengerusi pendidikan dan pembangunan insan MAIS, Pengerusi Lujnah Pendidikan PAS dan pelbagai jawatan dalam organisasi kemasyarakatan.
Beginilah Mir, awak anak Johor yang meraih rezeki di Selangor. Elaun awak khabarnya besar, antara tertinggi di Malaysia. Tadi, Pemuda PAS Selangor Selangor minta awak berundur, mana mungkin orang politik mahu berundur dengan mudah.
Reputasi Selangor sebagai negeri maju bukan atas usaha awak, jauh sebelum itu negeri itu adalah tumpuan pembangunan sejak zaman kolonial. Selangor sudah lama menjadi negeri perindustrian terulung di negara ini. Tapi ingat, video ucapan awak dalam Kongres PKR Selangor bergentayangan di media sosial. Rakyat Selangor impikan seorang Menteri Besar berkualiti tinggi, tidak pandai menyanyi tidak mengapa. Janji, pakej lengkap seorang pemimpin, kualifikasi kertas berprofil tinggi, berintegriti, anak jati Selangor yang piawai juga mempunyai hubungan yang baik dengan istana.
Dato’ Dr Halim Tamuri adalah sosok lima bintang yang akan akan memimpin negeri Selangor selepas PRU-16. Tiada yang sukar jika rakyat mahukan perubahan, apatah lagi kerajaan Selangor yang sedang bergelut dengan isu penternakan babi, masalah sampah, isu banjir yang tidak pernah selesai, isu pencerobohan rumah anutan serta bervariasi isu yang akan menamatkan pemerintahan PH di Selangor.
DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 11/2/2026











