‘Siapa akan di‘bodoh’kan MB Selangor?’

Susulan titah Sultan Selangor berkenaan isu penternakan babi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Dengan kenyataan ini (titah Sultan Selangor), siapakah pula yang akan di‘bodoh’kan oleh Menteri Besar Selangor?” soal Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari dalam media sosial miliknya hari ini susulan kenyataan Sultan Selangor.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata demikian menegur tindakan Kerajaan Negeri Selangor berhubung isu penternakan babi di negeri itu.

- Advertisement -

Terbaharu, Sultan Selangor mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung cadangan projek penternakan berskala besar di Bukit Tagar, Hulu Selangor, yang disarankan agar dibatalkan oleh Perdana Menteri pada 23 Januari 2026.

Menurut titah Sultan Selangor, Perdana Menteri menyatakan pada 9 Februari 2026 bahawa beliau tidak bersetuju penternakan babi dijalankan di kawasan yang dibantah penduduk tempatan atau boleh menimbulkan kontroversi.

Sultan Selangor menyambut baik kenyataan itu dan menegaskan Baginda tidak berkenan penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Selangor.

Titah Baginda, penternakan babi berpotensi mencemarkan udara dan sumber air akibat pelepasan najis serta sisa kumbahan.

“Sebagai contohnya cadangan penternakan babi di Bukit Tagar daerah Hulu Selangor yang merupakan kawasan pendudukan orang melayu dan kawasan Felda pastinya menerima bantahan daripada penduduk Melayu di kawasan tersebut dan persekitarannya.

“Di samping itu ianya boleh mengakibatkan pencemaran kepada kawasan tadahan air dan juga sungai yang membekalkan sumber air bersih kepada penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Dalam hal ini, walaupun pencemaran udara dan sungai boleh diatasi dengan kaedah penternakan moden

“Ia memerlukan perbelanjaan yang besar dan tidak mungkin mampu dibiayai oleh mana-mana pihak yang menternak hanya untuk bekalan daging babi di negeri Selangor sahaja.

“Tambahan lagi tiada jaminan bahawa penternakan moden tidak akan menyebabkan pencemaran air di kawasan tadahan air serta sungai yang menjadi punca air bersih kepada penduduk di Lembah Klang.

“Selain itu, penternakan babi berskala besar atau kecil juga tidak sesuai dilaksanakan di Negeri Selangor kerana sumber tanah yang terhad.

“Dan ditambah pula dengan faktor nilai hartanah yang tinggi di Negeri Selangor yang sewajarnya digunakan untuk tujuan yang lebih ekonomi dan boleh dimanfaatkan oleh masyarakat,” titah baginda menerusi kenyataan itu.

Baginda menasihatkan kerajaan negeri memberi lesen import daging babi untuk menampung keperluan orang bukan Islam, khususnya kaum Cina, sekali gus mengoptimumkan penggunaan tanah negeri untuk pembangunan dan penempatan lain.

Baginda menegaskan isu penternakan babi perlu dihentikan demi menjaga keamanan, keharmonian, dan perpaduan masyarakat.

Terdahulu, media tempatan melaporkan, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menerusi rakaman video Reels tular di media sosial mendakwa pembangkang tidak berani membangkitkan isu penternakan babi ketika berada dalam kerajaan sebelum ini.

“Dia (PAS) berani cakap? Tak berani. Dia pun tahu, mereka pun pernah jadi kerajaan,” dakwanya.

Beliau juga mendakwa Pesuruhjaya PAS Negeri dilaporkan menyokong perusahaan babi secara terkawal dalam media Cina.

“Itulah yang aku nak buat, bodoh. Tapi bila bercakap dengan rakyat, dia dengan orang dia, dia kata, ‘oh ini dah tak ingat Islam, babi tu haram. Aku pun tahu babi haram,” dakwanya lagi. – HARAKAHDAILY 10/2/2026

- Advertisement -