
HONG KONG: Hartawan media pro-demokrasi Hong Kong, Jimmy Lai dijatuhi hukuman penjara 20 tahun sabit kesalahan pakatan sulit dan hasutan asing, menamatkan perbicaraan keselamatan negara berprofil tinggi yang mendapat kecaman antarabangsa.
Haki, Esther Toh berkata, hukuman terhadap Lai mencerminkan ‘kelakuan jenayah yang serius dan berat’; dengan dua daripada hukuman 20 tahun itu bertindih dengan hukuman penjara sedia ada, bermakna dia akan menjalani tambahan 18 tahun.
“Hukuman ke atas Lai akan berjalan berturut-turut dengan tempoh penipuan selama lima tahun, sembilan bulan, walaupun dia mengekalkan hak untuk merayu,” jelas Toh.
Lai telah disabitkan kesalahan pada bulan Disember 2025 kerana bersekongkol dengan individu lain untuk bersekongkol dengan kuasa asing bagi membahayakan keselamatan negara; selain bersekongkol untuk menerbitkan artikel hasutan.
Tiga hakim yang disahkan oleh kerajaan Hong Kong telah membebaskan Lai yang berusia 78 tahun daripada hukuman penjara seumur hidup, walaupun hukuman semasa mungkin akan menyebabkannya dia dipenjarakan seumur hidup.
Sebelum meninggalkan bilik mahkamah, Lai kelihatan serius sementara beberapa hadirin menangis; dan Kardinal Joseph Zen di lihat duduk di sebelah isteri Lai.
Kes itu telah menimbulkan kebimbangan mengenai kebebasan akhbar di Hong Kong, walaupun kerajaan menegaskan perbicaraan itu tidak berkaitan dengan kewartawanan, dengan alasan defendan menggunakan laporan berita sebagai alasan untuk membahayakan Hong Kong dan China.
Lai, yang merupakan pengasas akhbar pro-demokrasi Apple Daily, terpaksa menutup penerbitan itu pada Jun 2021 selepas serbuan polis dan pembekuan aset, yang menjadi satu tamparan hebat kepada media bebas Hong Kong.
Edisi terakhir akhbar itu terjual sejuta naskhah, dan Lai adalah antara tokoh berprofil tinggi pertama yang ditangkap di bawah undang-undang keselamatan negara Hong Kong 2020, bersama beberapa wartawan kanan.
Hukuman terhadap Lai itu telah mendapat kritikan di luar negara, yang mana pada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata beliau telah bercakap dengan Presiden China, Xi Jinping mengenai pembebasan Lai, manakala Perdana Menteri United Kingdom, Keir Starmer juga menyeru pembebasannya.
Anak perempuan Lai, Claire, berkata keluarga itu tidak akan berhenti berjuang sehingga bapanya itu dibebaskan..
Dalam tempoh perbicaraan selama 156 hari, pendakwa raya menuduh Lai berkomplot dengan enam bekas kakitangan Apple Daily, dua aktivis, dan lain-lain untuk meminta sekatan asing atau langkah bermusuhan.
Hakim memutuskan bahawa Lai sebagai dalang, menonjolkan ‘jemputan berterusannya’ kepada AS untuk mengganggu kestabilan China dengan alasan membantu Hong Kong.
Pakar undang-undang memberi amaran bahawa kes itu menetapkan duluan yang luas, di mana kritikan yang sah pun boleh didakwa sebagai ‘pakatan sulit’, sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan wartawan dan ahli akademik di negara itu. – HARAKAHDAILY 9/2/2026











