Bunga api dan mercun: Tradisi, risiko dan pengajaran keselamatan

- Advertisement -

SETIAP kali menjelang musim perayaan, permainan bunga api dan mercun sudah menjadi satu kelaziman dalam masyarakat kita.

Tidak dapat dipastikan sejak bilakah budaya ini bermula di Tanah Melayu, namun ia seolah-olah telah menjadi satu ‘kewajipan tidak bertulis’ bagi memeriahkan suasana perayaan.

Dentuman mercun dan cahaya bunga api dianggap lambang kegembiraan, walaupun risiko yang tersembunyi di sebaliknya sering dipandang ringan.

- Advertisement -

Namun, sejarah telah membuktikan bahawa industri dan penggunaan bunga api serta mercun bukanlah sesuatu yang bebas risiko.

Malaysia pernah dikejutkan dengan satu tragedi besar yang menjadi titik hitam dalam sejarah keselamatan negara, iaitu tragedi letupan kilang mercun Bright Sparklers di Sungai Buloh, Selangor.

Kejadian yang berlaku pada 7 Mei 1991, jam 3:45 petang itu menghasilkan satu letupan gergasi yang boleh didengari sejauh kira-kira 7 kilometer dari lokasi kejadian.

Dalam sekelip mata, kawasan dalam lingkungan 500 meter radius dari kilang tersebut ranap sama sekali, seumpama ‘padang jarak padang tekukur’.

Tragedi ini telah mengorbankan sekitar 26 nyawa, mencederakan lebih kurang 103 orang, serta memusnahkan lebih 200 buah kediaman penduduk sekitar.

Kesan letupan turut menyebabkan tingkap rumah pecah di kawasan sejauh Seri Menjalara dan Selayang.

Bagi pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP), tragedi Sungai Buloh ini bukan sekadar sejarah, tetapi menjadi kajian kes utama dalam hampir setiap latihan KKP bagi menimbulkan kesedaran tentang bahaya bahan letupan, kegagalan pengurusan risiko, serta kepentingan kawalan kejuruteraan dan pentadbiran.

Malah, kejadian inilah yang antara lain telah mempercepatkan kelahiran Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA 1994), sebagai usaha memperkukuh tanggungjawab majikan dan pihak berkepentingan terhadap keselamatan di tempat kerja.

Namun, persoalan besar timbul apabila kita melihat kepada situasi hari ini. Bagaimana pula dengan pengendalian dan penyimpanan mercun serta bunga api oleh peniaga kecil dan penjual di tepi jalan?

Adakah stor penyimpanan bunga api dan mercun ini disimpan di kediaman mereka? Adakah bahan-bahan ini disimpan mengikut keperluan keselamatan? Adakah terdapat penilaian risiko, kawalan kuantiti, pengudaraan, jarak selamat, atau perlindungan kebakaran yang mencukupi?

Insiden kebakaran melibatkan mercun di sebuah apartmen di Bangi Avenue yang berlaku semalam sepertinya terdapat stok bunga api dan mercun di dalam apartment, walau bagaimanapun fakta yang sebenar perlu tunggu siasatan daripada pihak berkuasa seperti Bomba.

Peristiwa ini seharusnya membuka mata semua pihak. Walaupun skalanya tidak sebesar tragedi Sungai Buloh, kejadian ini jelas menunjukkan bahawa penyimpanan mercun di kawasan kediaman apatah lagi kediaman bertingkat adalah satu amalan berisiko tinggi.

Apartmen bukan sahaja mempunyai ruang terhad, malah melibatkan kepadatan penduduk yang tinggi. Sekiranya berlaku letupan atau kebakaran, laluan keluar terhad, masa pemindahan singkat, dan nyawa orang awam yang tidak bersalah turut terdedah kepada bahaya.

Hakikatnya, hanya satu kesilapan kecil  sama ada percikan api, haba berlebihan, geseran, atau kegagalan sistem elektrik sudah cukup untuk menukar simpanan mercun ini menjadi ‘bom jangka’. Risiko ini bukan sahaja ditanggung oleh penjual, tetapi turut dipikul oleh jiran, penghuni sekeliling, dan anggota penyelamat.

Justeru, isu mercun dan bunga api tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai isu tradisi atau penguatkuasaan bermusim. Ia adalah isu keselamatan awam yang memerlukan kesedaran, pematuhan undang-undang, serta penguatkuasaan berterusan.

Tragedi Sungai Buloh harus menjadi peringatan bahawa setiap perayaan tidak sepatutnya diraikan dengan menggadaikan keselamatan dan nyawa manusia. Keselamatan bukan penghalang kegembiraan, tetapi asas kepada kesejahteraan bersama!

Oleh:

TS SHAHRONIZAM NOORDIN
Pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan – HARAKAHDAILY 9/2/2026

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -