
APABILA meledak isu penguasaan DAP di bandar-bandar utama Pantai Barat, ia mengheret kepada isu keseriusan DAP untuk melaksanakan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (PBT) dan terkini cubaan untuk Pilihan Raya Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Sekitar tahun 2013, di saat penulis mula menggalang amanah sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, berlaku perbahasan hangat dalam mesyuarat Pusat berkaitan isu Pilihan Raya PBT. Tan Sri Tuan Guru Presiden PAS (Ayah Chik) diserang kuat oleh pemimpin DAP dalam isu Pilihan Raya PBT kerana Ayah Chik menolak dengan tegas Pilihan Raya PBT yang dicadangkan oleh DAP. Ironinya, idea DAP disambut oleh beberapa orang pemimpin PAS Pusat yang sangat menginspirasikan DAP yang akhirnya, mereka keluar daripada PAS pada tahun 2015 dan menubuhkan PAN.
Mereka telah berhujah bahawa gerakan Islam juga berpotensi untuk memenangi Pilihan Raya PBT, contohnya seperti mana yang berlaku di Algeria dan Turki. AKP di Turki serta Front Islamic Salvation di Algeria pernah menang bergaya dalam Pilihan Raya Majlis Bandaran.
Saya menghela nafas panjang dengan artikulasi berikut sedangkan demografi Malaysia, Algeria dan Turki adalah sangat berbeza. Malaysia dalam sejarahnya diacuankan oleh dasar British; mereka mengubah demografi tanah leluhur ini dengan cara membawa masuk imigran untuk menggerakkan ekonomi komersial. Migran dari Tanah Besar China dibawa masuk melalui sistem tiket dan sistem Kangchu, manakala migran India dibawa masuk melalui sistem Kanggani dan sistem tiket.
Etnik Cina telah dilonggokkan di kawasan bijih timah di mana kawasan ini berkembang menjadi bandar-bandar dengan Inggeris yang melaksanakan konsep the white man burden. Mobiliti sosial berlaku ke atas etnik Cina yang menghuni kawasan bandar apabila kemudahan awam dibina dengan pesat terutamanya aspek pendidikan.
Nasib sejarah negara ini seolah-olah ditoreh luka komunal apabila jurang antara kaum berlaku dengan isu pendudukan Jepun, ancaman komunisme, seterusnya tragedi 13 Mei 1969.
Ibu kota adalah simbol naratif kuasa. Jatuhnya Kota Melaka pada 1511 kepada Portugis membawa naratif sejarah kejatuhan Empayar Melaka.
Lihat juga PRU 1969, apabila PERIKATAN hilang majoriti dua pertiga, malah kerusi-kerusi Kuala Lumpur gagal dimenangi mereka. Secara implisitnya, kekuatan PERIKATAN roboh dalam politik negara, seterusnya membawa kepada penubuhan kerajaan campuran di awal dekad 1970-an. Naratif menguasai ibu kota bermaksud menguasai negara, inilah yang membawa kepada perbincangan belakang tabir dua parti politik Melayu, Umno dan PAS, untuk mengubah demografi Kuala Lumpur.
Setinggan Melayu mula menjadi fenomenal pasca peristiwa 13 Mei. Tanah-tanah kerajaan mula dirintis peneroka bandar di kawasan Lembah Pantai, Batu, Titiwangsa, Shah Alam, Petaling Jaya, Kepong, Cheras dan lain-lain kawasan bandar dan sub-bandar. Implikasi mesej politik dapat disampaikan selepas itu selama puluhan tahun setiap kali pilihan raya.
Cadangan Pilihan Raya Datuk Bandar Kuala Lumpur (PRDBKL) atau juga keghairahan DAP untuk mengadakan Pilihan Raya PBT, tidak boleh dibaca sebagai eksperimen demokrasi semata-mata. Bodohlah umat Melayu jika tidak mampu mengartikulasi hasrat DAP itu, malah meletakkan nasib mereka yang tidak menentu untuk dekad-dekad yang mendatang jika koalisi PH-BN terus berkuasa di negara ini. Jika Pilihan Raya ini diadakan maka Kuala Lumpur akan menjadi wilayah kuasa elektoral, bukan pentadbiran semata-mata sebagaimana hari ini.
Pilihan Raya PBT atau Pilihan raya untuk memilih Datuk Bandar bukan sekadar soal kaedah memilih pemimpin tempatan. Malah, ianya perlu dilihat serta dibimbangi sebagai peralihan struktur kuasa dalam sistem kenegaraan negara ini. Lebih jauh lagi, ianya membawa kepada impak serius terhadap keseimbangan perlembagaan, kedudukan sosio politik dan ekonomi orang Melayu secara makro. Legitimasi kuasa bandar juga akan mengheret kekacauan hubungan di antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Tempatan.
Sejujurnya, orang Melayu berisiko kehilangan kawalan politik serta wewenang pentadbiran, termasuklah dalam kek ekonomi. Di antaranya adalah seperti kehilangan peluang serta ruang strategik berkaitan dengan agihan lesen perniagaan, permit niaga, konsesi, kuasa tanah dan kelulusan pelbagai wewenang, melalui pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur atau juga kota-kota besar yang lain.
Umat Melayu, janganlah tidur atau terus merasa selesa dengan regim ini. Tiada keperluan untuk mengadakan Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan atau Pilihan Raya untuk memilih Datuk Bandar Kuala Lumpur. Amat wajib cadangan ini dibantah dengan sekeras-kerasnya demi mempertahankan kerukunan kaum, legitimasi tuan tanah yang semakin dirobek, juga keseimbangan perlembagaan negara dan keseimbangan struktur dalam pentadbiran sebagaimana kita saksikan ketempangan mula berlaku apabila Ahli-ahli Parlimen dalam Wilayah Persekutuan mulai diberi peranan aktif dalam pentadbiran.
DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 4/2/2026











