Pilihan raya DBKL: Tiada keperluan, jejas struktur kuasa

Sudut Perlembagaan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Cadangan untuk mengadakan pilihan raya bagi memilih Datuk Bandar dan Ahli Majlis Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dilihat tidak mempunyai keperluan perlembagaan, malah berisiko menjejaskan tadbir urus Wilayah Persekutuan.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Dato’ Zainul Rijal Abu Bakar berkata, pendirian itu diambil setelah meneliti cadangan tersebut berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, prinsip undang-undang pentadbiran serta struktur Kerajaan Persekutuan.

- Advertisement -

Menurutnya, Kuala Lumpur adalah Wilayah Persekutuan yang ditadbir secara langsung oleh Kerajaan Persekutuan, di mana DBKL bukanlah pihak berkuasa tempatan di bawah kuasa undang-undang negeri, sebaliknya satu entiti pentadbiran Persekutuan.

“Maka, tidak timbul sebarang keperluan perlembagaan atau statutori untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan bagi DBKL.

“Perlembagaan Persekutuan juga tidak memperuntukkan sebarang hak, kewajipan atau keistimewaan perlembagaan untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan.

“Hak memilih yang diperuntukkan secara jelas adalah terhad kepada pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri sahaja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga seorang peguam menegaskan, pelantikan Datuk Bandar dan Ahli DBKL oleh pihak berkuasa Persekutuan adalah pelaksanaan kuasa eksekutif yang sah dan tidak bercanggah dengan prinsip demokrasi berperlembagaan.

Mengulas mengenai implikasi pentadbiran, Zainul Rijal memberi amaran bahawa pelaksanaan pilihan raya DBKL berpotensi mewujudkan pertindihan mandat antara Datuk Bandar yang dipilih melalui pilihan raya dengan Kerajaan Persekutuan yang memegang kuasa ke atas tanah, kewangan dan keselamatan.

“Keadaan ini boleh mencetuskan konflik dasar, pertindihan kuasa, serta risiko keputusan yang bersifat ultra vires, sekali gus mewujudkan ketidakpastian undang-undang dalam pentadbiran bandar raya.

“Di bawah sistem Westminster, Menteri bertanggungjawab sepenuhnya kepada Parlimen terhadap DBKL.

“Sekiranya Datuk Bandar dipilih melalui pilihan raya, prinsip tanggungjawab menteri akan terjejas kerana timbul persoalan pihak manakah yang harus dipertanggungjawabkan sekiranya berlaku kegagalan,” jelasnya.

Tambahnya lagi, sebagai ibu negara yang menempatkan institusi Persekutuan dan misi diplomatik asing, pentadbiran Kuala Lumpur melibatkan pertimbangan keselamatan dan kepentingan nasional yang melangkaui kepentingan tempatan semata-mata.

Menyentuh mengenai desakan supaya kajian dilakukan terhadap cadangan tersebut, beliau berpandangan penubuhan kajian rasmi boleh mewujudkan legitimate expectation (harapan yang sah) dan digunakan sebagai bukti pengakuan kerajaan terhadap keperluan perubahan dasar.

“Bagaimana dengan cadangan beberapa pihak lain supaya mengadakan kajian berkaitan pemansuhan Sekolah Jenis Kebangsaan atau UEC, atau yang lebih umum tentang pengharaman arak dan judi? Setuju?” soalnya.

Justeru, beliau menyarankan agar sebarang kelemahan dalam tadbir urus DBKL diperbaiki melalui mekanisme sedia ada seperti pengukuhan audit, pengawasan Parlimen, dan ketelusan proses pelantikan tanpa perlu memperkenalkan pilihan raya tempatan.

“Pada pandangan saya, pentadbiran Wilayah Persekutuan khususnya Kuala Lumpur hendaklah kekal sebagai suatu fungsi Persekutuan yang ditadbir menurut undang-undang dan kepentingan awam, tanpa dipolitikkan melalui mekanisme pilihan raya tempatan,” katanya.. – HARAKAHDAILY 4/2/2026

- Advertisement -