
KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan membingkaikan cadangan Pilihan Raya Datuk Bandar sebagai instrumen induk untuk memperkukuh peranan dan kecekapan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) adalah ‘terlalu simplistik, naif dan salah arah’.
Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kecekapan pentadbiran sesebuah bandar raya tidak sangat bergantung kepada cara kepimpinannya ditentukan sama ada dipilih atau dilantik, sebaliknya bergantung kekuatan institusi, sistem ‘governans’ dan budaya pengurusan.
Beliau berkata, Ahli-ahli Parlimen PN mengambil maklum kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berhubung cadangan kajian mengadakan Pilihan Raya Datuk Bandar sebagai kaedah meningkatkan kecekapan dan keberkesanan DBKL.
Menurutnya, jika objektif cadangan itu benar-benar bertujuan meningkatkan pencapaian DBKL, maka pendekatan lebih realistik dan praktis adalah dengan memfokuskan kajian kepada isu langsung pentadbiran dan ‘governans’.
“Ini termasuk isu struktur organisasi DBKL, mutu kepimpinan, pengurusan sumber manusia, koordinasi antara unit, agensi dan kerajaan pusat, integriti dan mekanisme penguatkuasaan, aturan keutamaan serta mutu, kepantasan dan ketekalan pembuatan keputusan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Kota Bharu itu turut menegaskan cadangan itu menimbulkan isu perundangan dan perlembagaan serius yang perlu ditangani terlebih dahulu sebelum perbincangan mengenai pilihan raya berkenaan boleh bermula.
Beliau berkata, Kuala Lumpur adalah Wilayah Persekutuan yang diwujudkan bawah Perkara 95D Perlembagaan Persekutuan dan pentadbirannya diletakkan bawah tanggungjawab langsung Kerajaan Pusat.
DBKL pula katanya, ditadbir terutamanya mengikut Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 dan undang-undang subsidiari berkaitan kuasa, fungsi serta akauntibiliti yang jelas ditetapkan dalam kerangka pentadbiran Persekutuan.
“Justeru apa-apa langkah ke arah Pilihan Raya Datuk Bandar menuntut kajian semula komprehensif ke atas undang-undang sedia ada, termasuk Akta Ibu Kota Persekutuan dan undang-undang berkaitan.
“Ini termasuk pertimbangan teliti mengenai bagaimana peranan tersebut boleh wujud bersama bidang kuasa Menteri Wilayah Persekutuan dan eksekutif persekutuan lain,” jelasnya.
Takiyuddin berkata, tidak seperti pihak berkuasa tempatan yang ditadbir bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976, Kuala Lumpur tidak tertakluk bawah bidang kuasa negeri dan struktur pentadbirannya juga tidak sama.
Beliau memberi amaran, tanpa pindaan undang-undang dan perlembagaan yang jelas berkait skop kuasa eksekutif, bidang kuasa belanjawan, lini akauntibiliti dan mekanisme penyuraian konflik, pengenalan Pilihan Raya Datuk Bandar berisiko mencetuskan kekeliruan institusi, pertindihan bidang kuasa serta potensi konflik dan cabaran undang-undang.
Selain itu katanya, Datuk Bandar yang memiliki keabsahan demokratik tanpa kuasa undang-undang ditetapkan secara jelas hanya akan melemahkan, bukan memperkuat kepimpinan dan governans yang berkesan.
Dalam masa sama beliau berkata, tidak ada jaminan Pilihan Raya Datuk Bandar akan secara automatik membawa kepada penyampaian perkhidmatan atau ‘governans’ lebih baik.
“Malah sistem sedemikian boleh membawa masalah tambahan lain, termasuk pempolitikkan pentadbiran bandar raya, populisme elektoral, konflik Datuk Bandar yang dipilih dengan Kerajaan Persekutuan serta ketidakstabilan dasar yang dipacu oleh kitaran pilihan raya, bukan dasar perancangan bandar jangka panjang,” terangnya.
Takiyuddin berkata, tanpa menangani isu teras itu terlebih dahulu, cadangan Pilihan Raya Datuk Bandar berpotensi mewujudkan harapan palsu dalam kalangan orang awam, selain menimbulkan masalah ‘governans’ lain yang akan semakin melemahkan DBKL akibat salah fokus dan keutamaan.
Sehubungan itu, beliau berkata MP-PN menggesa kementerian menyemak semula fokus kajian dicadangkan dengan mengutamakan reformasi institusi, pentadbiran dan undang-undang yang lebih realistik dan komprehensif bagi memperkukuh kecekapan, profesionalisme dan akauntibiliti DBKL.
“Bukannya mengheret rakyat ke arah eksperimentasi dan ‘roller coaster’ politik dan idea yang berbahaya serta tidak berpijak di alam nyata,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/2/2026











