
KUALA TERENGGANU: Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan pendirian tidak bersetuju dengan cadangan mengadakan pilihan raya Datuk Bandar di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT), termasuk di Terengganu.
Beliau berkata, pelaksanaan pilihan raya PBT adalah tidak selari dengan kedudukan Perlembagaan Persekutuan yang sedia ada memandangkan kaedah tersebut telah dimansuhkan susulan rusuhan kaum pada tahun 1969.
Menurutnya, walaupun terdapat negeri yang menggubal enakmen bagi membolehkan pilihan raya PBT dilaksanakan, langkah itu tetap bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Dengan kedudukan perlembagaan yang sedia ada ketika ini, pilihan raya PBT memang tidak boleh dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Menandatangani MoA Yayasan Terengganu dan Batik Air di Wisma Darul Iman, hari ini.
Ahmad Samsuri yang juga Ahli Parlimen Kemaman berkata, isu tersebut perlu dilihat secara menyeluruh dan tidak tertumpu kepada soal pilihan raya semata-mata, sebaliknya mengambil kira aspek kestabilan dan keharmonian masyarakat.
Beliau menegaskan, pelaksanaan pilihan raya Datuk Bandar berpotensi mewujudkan percanggahan antara pentadbiran PBT dan kerajaan negeri, sekali gus membuka ruang kepada politiking berlebihan yang boleh menjejaskan kelancaran urus tadbir.
“Saya faham bahawa mereka ni melihat model-model di negara maju yang dan kita tak boleh lihat dalam satu aspek sahaja, kita kena tengok secara keseluruhan.
“Jadi, apa yang diamalkan sedia ada di Malaysia hari ini, kita tambah baik itulah. Itu sahaja. Saya rasa itu lebih bermakna daripada mengadakan satu perkara baru yang akan memberi kesan kestabilan yang tidak mendatangkan kebaikan kepada sesiapa,” katanya.
Terdahulu, Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh mencadangkan supaya satu kajian dijalankan bagi meneliti kemungkinan pelaksanaan Pilihan Raya Datuk Bandar sebagai usaha meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). – HARAKAHDAILY 4/2/2026











