Kedah tuntut Pulau Pinang: Sanusi jawab Chow Kon Yeow

Tidak bercanggah dari kerangka Perlembagaan

- Advertisement -

ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, menegaskan, tuntutan Kedah terhadap Pulau Pinang adalah berpandu serta berdasarkan undang-undang Perlembagaan sedia ada.

Katanya, dokumen berkenaannya kini sedang disiapkan bersama pasukan peguam dan akan dibentangkan secara Perlembagaan bukannya di luar kerangka Perlembagaan.

- Advertisement -

“Pembentangan akhir kepada Kerajaan Negeri telah dibuat, tunggu siap sepenuhnya, kita akan bawa pembentangan itu sama ada ke mahkamah, Persidangan Raja-Raja atau rundingan.

“Rundingan dengan Kerajaan Persekutuan juga salah satu jalan. Bukan lawan sahaja tetapi berunding pun boleh bersama dokumen dan fakta-fakta yang kukuh,” jelas beliau.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu ditemui media selepas merasmikan Program 1 Bulan 1 Sukan, Peringkat Negeri Kedah, di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Penjelasan tersebut bagi menjawab dakwaan, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, kononnya tuntutan Menteri Besar Kedah terhadap Pulau Pinang adalah tidak berperlembagaan.

Malah, Kon Yeow ketika menyatakan perkara itu di Dewan Rakyat, telah menyamakan seperti tuntutan waris Sulu ke atas Sabah yang ditolak berdasarkan prinsip undang-undang dan kedaulatan negara.

Ahli Parlimen Batu Kawan itu dalam perbahasannya menyatakan Pulau Pinang adalah negeri berdaulat dalam Persekutuan Malaysia sejak kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 1957, kelmarin.

Malah katanya, kedudukan itu turut diperkukuh melalui Perjanjian Malaysia 1963 yang menegaskan Pulau Pinang tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan dan bukan kepada tuntutan sejarah sebelum merdeka.

Justeru tegas Sanusi, semua dakwaan Ketua Menteri tersebut akan dijawab melalui dokumen-dokumen yang disediakan oleh barisan pengamal undang-undang yang telah dilantik oleh pihaknya.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS itu juga menempelak kenyataan Ketua Menteri tersebut yang mendakwa isu tuntutan Kedah terhadap Pulau Pinang sama seperti tuntutan waris Sulu ke atas Sabah.

“Sulu bukan ‘dok’ (berada) dalam Malaysia. Sultan pun tak ada. Kita (Kedah) ada sultan. Jauh beza tu. Yang dia (Kon Yeow) kata tak berpelembagaan itu, macamana? Kita bertindak berdasar undang-undang. Tak langgar apa-apa pun,” bidas beliau lagi.

Dalam masa yang sama, pihaknya juga mempunyai fakta-fakta yang kukuh dan membolehkan sekiranya tuntutan dilakukan.

“Kalau dia (Kon Yeow) rasa dia ada kes, ada isu. Bawalah. Takkan semua tak berpelembagaan. Kita pun baca buku juga. Tujuan kita untuk membetulkan apa yang salah pada masa lalu.

“Apa salahnya? Membetulkan apa yang silap dan belum selesai yang dipaksa selesai pada masa lalu. InsyaAllah, hal ini akan diselesaikan dengan baik,” tegasnya lagi. – HARAKAHDAILY 29/1/2026

- Advertisement -