
BERITA mengenai kanak-kanak yang ditinggalkan di dalam kereta sehingga mengakibatkan kematian telah menjadi tajuk utama selama bertahun-tahun. Situasi di mana terlupa dan tertinggal seorang kanak-kanak di dalam kenderaan diparkir dikenali sebagai Sindrom Terlupa Bayi (Forgotten Baby Syndrome, FBS) atau Sindrom Terlupa kanak-kanak di dalam kenderaan (forgotten in-vehicle syndrome). Terkini berlaku lagi seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun meninggal dunia selepas dipercayai tertinggal di dalam kereta ibunya selama sembilan jam di Jalan Tunku Hassan, Seremban.
Di Amerika Syarikat sepanjang tempoh 26 tahun bermula dari tahun 1998 hingga tahun 2023, sebanyak 969 kematian kanak-kanak direkodkan akibat strok haba dalam kenderaan. Angka ini menunjukkan bahawa isu ini merupakan masalah keselamatan yang serius dan berpanjangan, dengan kes berlaku hampir setiap tahun tanpa pengecualian.
Secara puratanya kematian kanak-kanak akibat strok haba dalam kenderaan bagi tempoh ini ialah kira-kira 37 kematian setahun. Purata ini menunjukkan bahawa, secara konsisten, lebih daripada tiga dozen kanak-kanak meninggal dunia setiap tahun akibat ditinggalkan di dalam kenderaan, walaupun pelbagai kempen kesedaran dan langkah pencegahan telah diperkenalkan.
Begitu juga di Malaysia, hampir setiap tahun berlaku kes kanak-kanak ditinggalkan secara tidak sengaja di dalam kereta. Ada yang sempat diselamatkan, dan ada juga yang menemui ajal.
Persoalannya sekarang, bagaimana ‘Forgotten Baby Syndrome’ sebegini boleh berlaku sedangkan ibu bapa amat menyayangi anak-anak mereka? Hakikatnya, terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada kejadian ini. Antaranya ialah kealpaan jangka pendek, di mana ibu bapa atau penjaga terlupa bahawa anak mereka berada di tempat duduk belakang. Keadaan ini boleh berlaku apabila seseorang berada dalam keadaan letih melampau, tertekan atau cemas dan terganggu oleh rutin harian.
Kematian akibat ‘Forgotten Baby Syndrome’ bukanlah kejadian terpencil atau bermusim, sebaliknya merupakan risiko keselamatan yang berulang dan berterusan. Justeru, pendekatan pencegahan yang lebih sistematik, termasuk pendidikan awam, perubahan tingkah laku penjaga, serta penggunaan teknologi keselamatan dalam kenderaan, amat diperlukan bagi mengurangkan angka kematian ini.
Terdapat juga beberapa tindakan pencegahan yang boleh dibuat dalam rutin kita untuk membantu mengingati bahawa kanak-kanak berada di dalam kereta, seperti:
a. Membuka pintu belakang kereta setiap kali meletak kenderaan, walaupun tidak ada orang di belakang.
b. Letakkan beg atau kotak makanan anak kita di tempat duduk depan di mana kita dapat melihatnya.
c. Tinggalkan sesuatu di tempat duduk belakang di sebelah anak kita. Pilih item yang diperlukan pada akhir perjalanan kereta, seperti telefon, dompet atau beg tangan.
d. Tinggalkan nota atau pelekat peringatan pada tingkap kereta atau berhampiran pemegang pintu, di mana kita akan melihatnya apabila hendak keluar dari kereta.
e. Menggunakan peranti yang mengingatkan bahawa anak kita berada di dalam kereta. Seperti cermin tempat duduk belakang, monitor video atau telefon pintar.
f. Namun akhir sekali jangan lupa pada pencipta dengan membaca doa, surah al-Zukhruf ayat 13-14 yang bermaksud:
“Supaya kamu duduk tetap di atasnya; kemudian kamu mengingati nikmat Tuhan kamu apabila kamu duduk tetap di atasnya, serta kamu (bersyukur dengan) mengucapkan:” Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya”
“Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali”.
Oleh:
TS SHAHRONIZAM NOORDIN
Pengamal
Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan – HARAKAHDAILY 28/1/2026
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.













