
TITAH Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sempena Istiadat Pembukaan Sidang Parlimen pada tahun ini telah menyentuh satu hakikat yang lama kita sembunyikan, iaitu negara sedang berdepan krisis tadbir urus dan kegagalan membendung rasuah. Ia bukan lagi isu terpencil, bukan kes individu, dan bukan masalah teknikal semata-mata. Ia sudah menjadi barah yang meresap ke dalam sistem negara.
Hari ini, dalam perbahasan di Dewan Rakyat, Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ahli Parlimen Marang telah membawa isu ini ke akar yang sebenar. Beliau tidak berbicara mengenai simptom, tetapi mengenai punca. Bukan sekadar undang-undang, tetapi manusia. Bukan hanya struktur, tetapi roh yang hilang.
Beliau mengingatkan bahawa rasuah dalam Islam adalah dosa besar yang kesannya jauh lebih parah daripada memakan makanan haram. Makanan haram merosakkan diri, tetapi rasuah merosakkan negara dan masyarakat keseluruhannya.
Inilah sebab mengapa Allah SWT melaknat bukan sahaja penerima rasuah, tetapi juga pemberi rasuah dan orang tengah. Namun hari ini, undang-undang kita hanya menghukum satu pihak, sementara yang lain dilindungi atas nama kepentingan dan kuasa.
Lebih menyedihkan, keadaan ini telah melahirkan realiti yang digambarkan Tuan Guru sebagai _“ikan yang busuk bermula dari kepala.”_ Apabila yang di atas rosak, kerosakan itu menitis ke bawah. Ini bukan tuduhan emosi, tetapi gambaran struktur yang gagal.
Tuan Guru menegaskan bahawa punca utama kepada barah ini adalah disebabkan tiga sebab; kegagalan pembangunan insan, kelemahan undang-undang, dan kepimpinan yang lemah yang diibaratkan sebagai ‘payung bocor.’ Selagi tiga perkara ini tidak dibetulkan, selagi itu rasuah akan terus hidup walaupun slogan berubah.
Dalam aspek pembangunan insan, Tuan Guru mengingatkan bahawa manusia tidak boleh dibina secara separuh atau terpisah daripada fitrah kejadian manusia. Manusia mempunyai tiga komponen utama: jasad, akal dan roh. Jasad memerlukan makanan, akal memerlukan ilmu, dan roh memerlukan iman serta akidah. Masalah hari ini ialah kita hanya memberi makan kepada jasad dan akal, tetapi membiarkan roh kelaparan.
Apabila roh tidak dibina, nafsu menjadi raja. Ketamakan tidak pernah puas. Nabi Muhammad SAW mengingatkan bahawa jika manusia memiliki dua lembah emas, dia akan menginginkan yang ketiga, dan tidak akan pernah merasa cukup sehingga ke kubur. Nafsu yang tidak dikawal inilah yang mendorong manusia untuk mengambil sedikit demi sedikit, mengambil lima peratus, sepuluh peratus, hingga akhirnya projek gagal, bangunan rosak, dan bajet habis di tengah jalan.
Tuan Guru menggambarkan keadaan ini dengan kisah dua ekor kera yang berebut pisang. Beruk diibaratkan sebagai orang tengah, setiap kali memotong pisang, sebahagian dimasukkan ke dalam mulutnya sendiri sehingga tinggal kulit sahaja. Begitulah realiti rasuah hari ini. Bukan kerana tiada peruntukan, tetapi kerana duit tidak sampai kepada rakyat.
Undang-undang pula menjadi lemah kerana kehilangan roh. Ia hanya dilihat sebagai urusan dunia, tanpa kesedaran bahawa setiap perbuatan akan dipertanggungjawabkan di akhirat. Apabila seseorang terlepas daripada hukuman dunia, dia menyangka dirinya selamat. Sedangkan dalam Islam, keadilan tidak berakhir di mahkamah dunia.
Lebih parah lagi, undang-undang dilaksanakan secara terpilih. Yang menyokong dilindungi, yang menentang disekat peruntukan dan ditekan dengan pelbagai cara. Inilah yang menjadikan kerajaan sebagai ‘payung bocor’ yang gagal melindungi keadilan. Pada masa sama, pegawai-pegawai dijadikan kambing hitam, sementara yang besar terus terselamat.
Tuan Guru juga mengingatkan bahawa penyelesaian sebenar bermula dengan kepimpinan yang menjadi teladan. Ulama menyebut, “Rakyat akan mengikut agama pemimpin mereka.” Jika yang di atas jujur, yang di bawah akan mengikutinya.
Sebagai contoh, Khalifah Umar bin Abdul Aziz melakukan reformasi bukan dalam dua penggal, tetapi dalam dua tahun, bermula dengan dirinya, keluarganya dan kroninya. Keikhlasan inilah yang mengubah seluruh pentadbiran. Tuan Guru juga mengingatkan tentang kisah Sultan Hamengkubuwono di Yogyakarta yang menaikkan pangkat polis yang menyamannya. Ini gambaran kepimpinan yang memperjuangkan nilai integriti, bukan menindas kebenaran.
Akhirnya, Tuan Guru menegaskan bahawa pembinaan jati diri manusia mesti bermula daripada didikan kanak-kanak. Pendidikan tidak boleh dipisahkan daripada pembinaan akhlak. Anak-anak mesti dididik mengikut fitrah, pada usia tujuh tahun dididik dengan asas agama fardhu ain dan akhlak, dan pada usia sepuluh tahun dan seterusnya dengan tanggungjawab yang lebih besar dalam masyarakat (fardhu kifayah). Apabila sistem pendidikan gagal membentuk manusia yang seimbang, maka kita akan terus melahirkan generasi yang bijak akalnya, tetapi kosong jiwanya.
Rasuah bukan sekadar isu kewangan. Ia adalah kegagalan pembinaan iman manusia, kelemahan undang-undang dan kepimpinan negara. Dan selagi kita tidak membetulkan manusia, kita hanya akan menukar wajah dan slogan, bukan menyelesaikan akar umbinya.
MALIK RAZAK
*Penulis merupakan Setiausaha Akhbar Presiden PAS – HARAKAHDAILY 28/1/2026











