
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu mendedahkan bahawa FELDA masih belum melunaskan bayaran premium dan cukai tanah bagi ladang komersial berkeluasan kira-kira 18,000 hektar, sekali gus menafikan kenyataan beberapa pemimpin Kerajaan Persekutuan sebelum ini yang mendakwa bayaran telah diselesaikan sepenuhnya.
Pengerusi Jawatankuasa Task Force Penyelesaian Tanah FELDA, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, pengukuran terkini mendapati keluasan sebenar tanah kerajaan negeri yang dibangunkan oleh Felda adalah lebih besar berbanding anggaran terdahulu.
“Ukuran terkini keluasan tanah kerajaan negeri yang dibangunkan sebagai ladang komersial oleh Felda ialah kira-kira 18,000 hektar dan bukannya 15,000 hektar sebagaimana dimaklumkan sebelum ini
“Sebaik sahaja perjanjian ditandatangani antara Kerajaan Negeri dan FELDA, insya-Allah pada Mac 2026 nanti, ia akan disusuli dengan permohonan Jadual 1 oleh pihak FELDA,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa Jadual 1 ialah borang permohanan yang perlu diisi oleh mana-mana pemohon yang berhajat untuk memohon tanah milik kerajaan. Peraturan Jadual 1 adalah sama sahaja sama ada untuk rakyat atau syarikat.
“Ia bermakna, FELDA perlu membayar premium tanah dan cukai tanah bagi keluasan 18,000 hektar. Rezeki tambahan untuk negeri dan rakyat Terengganu,” tegasnya.
Beliau juga mendedahkan, keadaan itu bercanggah dengan kenyataan beberapa pemimpin Persekutuan sebelum ini termasuk Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Komunikasi yang menyatakan Felda telah menjelaskan semua bayaran kepada Kerajaan Negeri Terengganu.
Terdahulu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata kerajaan sudah melunaskan segala keperluan kewangan berkaitan isu membabitkan 10 ladang FELDA seluas kira-kira 15,000 hektar di Terengganu.
Katanya, hal itu dijelaskan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada mesyuarat Kabinet.
Dalam pada itu, Azman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri menyatakan, perkembangan tersebut adalah selari dengan kenyataan Pengerusi FELDA yang menyebut bahawa penyelesaian isu tanah berkenaan akan melibatkan implikasi kewangan kepada agensi terbabit.
“Kalau semuanya sudah dilunaskan maka tentu sekali tidak akan timbul lagi apa-apa implikasi kewangan,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/1/2026











