
KUANTAN: Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang mendesak kerajaan negeri memberikan penjelasan segera mengenai status Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan di Gebeng, yang sebelum ini diumumkan akan mula beroperasi pada 2026 dengan kos berbilion ringgit.
Ketua Penerangannya, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, projek yang diumumkan sejak beberapa tahun lalu itu masih belum menunjukkan perkembangan fizikal di tapak, tiada pengumuman rasmi kelulusan lesen aerodrom, malah tiada garis masa terbaharu bagi rakyat.
“Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang memandang serius isu status kewujudan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan di Gebeng.
“Pengumuman projek ini telah dibuat sejak beberapa tahun lalu dan sering dijadikan bahan promosi kejayaan serta bukti keupayaan pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang yang sekarang ini dipimpin oleh Umno-Pakatan Harapan (PH). Namun, sehingga kini, rakyat masih tertanya-tanya: di manakah kedudukan sebenar projek ini?
“Pemuda PAS Pahang berpandangan bahawa rakyat Pahang berhak mendapat penjelasan yang jujur dan berfakta, bukan sekadar pengumuman berulang yang akhirnya tinggal sebagai janji politik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Lebih membimbangkan, tambah beliau, projek mega seperti itu melibatkan implikasi besar terhadap kewangan negeri, guna tanah, alam sekitar serta hala tuju pembangunan ekonomi Pahang.
“Kami ingin menegaskan bahawa pembangunan tidak boleh berasaskan retorik semata-mata, setiap projek mega mesti didasari perancangan rapi, ketelusan dan keutamaan rakyat. Kegagalan menjelaskan status sebenar hanya menghakis keyakinan rakyat terhadap pentadbiran negeri.
“Oleh itu, Pemuda PAS Pahang mendesak Kerajaan Negeri Pahang untuk menjelaskan sama ada projek ini masih diteruskan, ditangguhkan atau telah terbatal dan membentangkan perancangan realistik sekiranya projek ini masih ingin direalisasikan,” ujarnya.
Bagaimanapun, ujar beliau lagi, rakyat Pahang tidak menolak pembangunan, tetapi rakyat menolak janji kosong.
“Pahang tidak memerlukan slogan dan pengumuman semata-mata, sebaliknya memerlukan kepimpinan yang berani bercakap benar dan bertanggungjawab.
“Pemuda PAS Pahang akan terus memainkan peranan sebagai suara semak dan imbang demi memastikan kepentingan rakyat dan masa depan negeri Pahang tidak terus dipermainkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/1/2026











