850,000 murid, 11,500 kelas: Realiti pahit pendidikan negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan Perdana Menteri yang mengambil kira sudut pandang pelbagai pihak mengenai kewajaran pelaksanaan ujian diagnostik bagi kemasukan murid enam tahun ke Darjah Satu masih belum menyelesaikan masalah pokok.

Dewan Pemuda PAS Malaysia dalam satu kenyataan berkata, isu sebenar yang perlu ditangani ialah kapasiti murid yang berlebihan serta kesediaan ekosistem pendidikan negara.

- Advertisement -

Menurut kenyataan itu, berdasarkan data kiraan oleh pakar pendidikan, Dr Anuar Ahmad, sekurang-kurangnya 11,500 bilik darjah baharu perlu disediakan dalam tempoh setahun bagi menampung kira-kira 850,000 murid daripada dua kohort kelahiran yang akan mendaftar Darjah Satu pada 2027.

“Apakah menjalankan dua sesi persekolahan dan pembinaan kelas secara IBS (Sistem Binaan Berindustri) mampu untuk menampung jumlah yang sebesar ini dalam tempoh yang singkat?” ujar kenyataan tersebut..

Pemuda PAS juga mempersoalkan mengenai jumlah murid yang akan ditempatkan dalam satu kelas, bilangan guru yang perlu bertugas pada sesi pagi dan petang, serta sama ada jumlah guru mencukupi untuk memenuhi keperluan tanpa ada pihak yang terkorban.

Selain itu, Pemuda PAS menimbulkan persoalan sama ada prasarana dan kemudahan sedia ada mencukupi untuk menampung pertumbuhan murid, serta sama ada murid mampu belajar dengan selesa dan beraktiviti dengan ceria.

Katanya, persoalan-persoalan itu perlu diberi perhatian serius sekiranya kerajaan masih ingin meneruskan perancangan pelaksanaan kemasukan Darjah Satu berumur enam tahun.

Pemuda PAS menegaskan mereka tidak menolak hujah bahawa kebanyakan negara maju telah melaksanakan dasar sedemikian, namun berpandangan ekosistem pendidikan negara terbabit sudah disediakan untuk menampung pelaksanaan itu.

“Sedangkan kita? Banyak perkara yang belum jelas. Banyak tindakan yang belum selesai. Banyak dasar yang masih tempang,” ungkap kenyataan itu.

Pemuda PAS turut menyifatkan jawapan Perdana Menteri dan Menteri berkaitan isu itu sebagai tidak meyakinkan.

“Sekiranya sudah ada libat urus seperti didakwa, sepatutnya terdapat data yang disahkan dan menjadi tunjang utama kepada perancangan berkenaan.

“Tetapi tidak. Percakapannya hanya seperti cakap-cakap sahaja. Dan berubah ikut suka bila rasa tak kena. Inilah masalahnya,” katanya.

Sehubungan itu, Pemuda PAS mengingatkan supaya kerajaan tidak mengumumkan sesuatu terlebih dahulu sebelum membuat kajian, sambil menegaskan, ‘Jangan jadi Kerajaan Pak Pandir!’. – HARAKAHDAILY 28/1/2026

- Advertisement -