Presiden PAS adalah Amir Jemaah

MA, MSU entiti penting Harakatul Ummah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden PAS adalah Amir Jemaah, namun Mursyidul Am (MA) serta Majlis Syura Ulamak (MSU) merupakan entiti penting yang saling melengkapi dalam menggerakkan perjuangan harakatul ummah, kata Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Riduan Mohamad Nor.

Menurutnya, perbahasan terbuka mengenai istilah MSU, Mursyidul Am dan Presiden PAS yang berlaku di media sosial serta media arus perdana kebelakangan ini perlu dilihat secara positif kerana ia membuka ruang awam untuk memahami peri pentingnya peranan PAS dalam landskap politico-dakwah negara.

Katanya, meskipun terdapat pihak yang cuba mengambil peluang meruntuhkan wibawa PAS dengan memainkan isu berkenaan, tindakan itu sebaliknya berpotensi meningkatkan minat masyarakat untuk mengkaji serta meminati perjuangan PAS sebagai parti masa depan negara.

Dr Riduan berkata, Presiden PAS selaku Amir Jemaah memimpin parti berdasarkan kuasa eksekutif yang diperuntukkan dalam Perlembagaan PAS, namun kepimpinan itu dilaksanakan secara kolektif melalui mesyuarat bersama Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan Majlis Syura Ulamak.

- Advertisement -

“Presiden PAS bersama Jawatankuasa Kerja PAS Pusat bertanggungjawab melaksanakan dasar yang diperjuangkan oleh PAS secara berstrategi, terancang serta terikat dengan tanzim,” ujarnya dalam satu tulisan, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh menjelaskan, jawatan Presiden PAS dipilih melalui Muktamar PAS Pusat yang diadakan setiap dua tahun sekali dan merupakan syura tertinggi harakatul ummah dengan menghimpunkan perwakilan PAS dari seluruh negara.

Sementara itu jelasnya, jawatan Mursyidul Am pula dilantik melalui proses syura dalam Majlis Syura Ulamak sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan PAS Fasal 9 (1) (a), (b) dan (c), dengan tempoh penggal selama lima tahun.

Menurut Dr Riduan, kekuatan PAS sering diletakkan oleh sarjana sains politik pada kepimpinan ulama serta dasar parti yang kukuh, menyebabkan PAS terus bergerak meskipun pimpinan silih berganti.

Beliau berkata, Presiden PAS mentarjih perjalanan parti selaku Amir Jemaah Islam, justeru Ucapan Dasar Presiden dibentangkan pada setiap Muktamar PAS Pusat dan menjadi pemacu gerakan, barometer serta indeks piawaian pencapaian tahunan parti.

“Untuk membumikan pengoperasian PAS di medan siasah, dakwah dan tarbiah maka akar umbi PAS mengadakan munaqasyah Ucapan Dasar Presiden,” jelasnya sambil menegaskan bahawa tiada Ucapan Dasar Mursyidul Am.

Dr Riduan menegaskan, Majlis Syura Ulamak merupakan pancang perjuangan dan badan terpenting yang membezakan PAS daripada parti politik serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.

Beliau berkata, MSU ditubuhkan hasil usul Dewan Pemuda PAS Pusat pada Muktamar PAS 22 Oktober 1982, seiring transformasi kepimpinan PAS ketika kebangkitan semula Islam, dan berfungsi sebagai badan ‘vanguard’ yang berautoriti serta perlu dilihat ‘bersih’ dan tidak bias.

Menurutnya, pindaan Perlembagaan PAS bagi menubuhkan MSU diluluskan pada Muktamar Tahunan Agung PAS Pusat ke-29 pada 29 April 1983 dan seterusnya diluluskan Pendaftar Pertubuhan pada 18 Mac 1987, membolehkan pelantikan Mursyidul Am.

“Ustaz Haji Yusuf Rawa dilantik sebagai al-Mursyidul Am PAS pertama pada November 1987. Uniknya beliau juga adalah Presiden PAS saat itu,” ulasnya.

Dr Riduan berkata, MSU berperanan menghuraikan, menjelaskan dan mentafsir dasar PAS, mengeluarkan arahan serta ketetapan, mengawasi pelaksanaan dasar dan memelihara tatatertib parti agar selari dengan syariat Islam.

Beliau menegaskan, tidak wujud persaingan kuasa antara Presiden, Mursyidul Am dan Ahli Majlis Syura Ulamak, sebaliknya hubungan simbiosis antara kepimpinan itu menjadi kekuatan PAS untuk terus memimpin ummah di medan siasah. – HARAKAHDAILY 27/1/2026

- Advertisement -