
KUALA LUMPUR: Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (PN-Marang) menegaskan bahawa pembangunan insan mesti dilaksanakan mengikut acuan ditetapkan Allah SWT, sebagaimana ditunjukkan Rasulullah SAW yang memulakan pembinaan manusia berdasarkan fitrah semula jadi.
Presiden PAS itu berkata, manusia dilahirkan dalam keadaan suci dan bersih, justeru pendidikan awal amat penting dalam membentuk akhlak serta keperibadian seseorang.
Menurutnya, Islam menekankan asuhan fitrah sejak peringkat bayi, termasuk aspek pemakanan, dengan menggalakkan penyusuan susu ibu berbanding susu tiruan.
“Dengan sebab itu pada peringkat bayi ini, peringkat kanak-kanak kecil ni hendaklah diasuh fitrah dia dulu mula daripada makanan dia. Sebab tu Islam menggalakkan susu ibu bukan susu tiruan. Susu ibu dulu.
“Sekarang ni apa yang berlaku? Ibu duduk sibuk sangat bagi susu tiruan. Maka jadilah anak tiruan. Apa yang berlaku di Barat hari ini anak-anak tak peduli pada ibu bapa sebab anak tiruan.
“Sehingga ada ibu bapa yang tulis surat wasiat bagi kat anjing. Anjing jaga. Ini sangat menyedihkan,” ujar beliau ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, di sini hari ini.
Tuan Guru turut merujuk panduan Nabi Muhammad SAW dalam mendidik anak-anak, termasuk perintah mengajar solat pada usia tujuh tahun serta mendidik dengan lebih tegas apabila mencecah usia 10 tahun.
Katanya, pada usia tujuh tahun, anak-anak perlu diajar fardu ain yang wajib ke atas setiap individu, termasuk perkara agama, akhlak serta penentuan betul dan salah.
“Ini dalam masa umur 7 tahun. Peringkat bawah 7 tahun tu didik fitrah rumah dia dulu. 7 tahun barulah Nabi kata bagi fardu ain didikan wajib atas tiap-tiap orang.
“Bila 10 tahun barulah ajar benda lebih besar, yang lebih berkembang barulah dia besar lagi barulah fardu kifayah tugas-tugas dalam masyarakat,” jelasnya.
Menurut beliau, masalah yang berlaku hari ini berpunca daripada pemisahan antara pendidikan dan pelajaran, selain pendekatan pendidikan yang tidak menyeluruh.
Dalam perbahasan sama beliau berkata, kegagalan itu perlu diberi perhatian serius kerana dunia kini sedang berdepan kerosakan yang parah, bukan sahaja di peringkat nasional, malah antarabangsa.
“Kita melihat bagaimana Amerika sebuah negara demokrasi dah jadi negara samseng. Negara samseng. Serang Venezuela, nak ambil Greenland, nak ambil Kanada sebagainya.
“Demokrasi pilihan raya dia (Amerika saja) yang sah. Pilihan raya orang lain tak sah. Padahal negeri orang lain buat pilihan raya juga. Iran ada pilihan raya, Rusia ada pilihan raya. Semua ada pilihan raya. (Tetapi) Semua (selain Amerika) tak betul. Pilihan raya dia saja betul.
“Oleh kerana dia sangat nafsu nak pada harta, nak pada hasil hasil bumi, bila hasil hasil bumi dia tak cukup rompak negeri lain, balik pada zaman penjajahan balik penaklukan.
“(Ia) sehingga negara blok Barat daripada negara Eropah mengubah sikap terhadap Amerika. Tak sokong. Malangnya Malaysia kita serah diri daripada awal lagi. Ini sangat mendukacitakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/1/2026











