
MARANG: Perikatan Nasional (PN) dijangka memuktamadkan pelantikan Pengerusi baharu dalam tempoh satu hingga dua minggu lagi, kata Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Menurut beliau, setakat ini PAS masih belum menerima sebarang jemputan rasmi berkaitan mesyuarat bagi pelantikan jawatan berkenaan, namun proses itu dijangka dapat diselesaikan dalam masa terdekat.
“Sehingga kini, kita belum terima jemputan mesyuarat. Tunggu sahajalah,” katanya ketika ditemui selepas selepas Kuliah Dhuha, di Masjid Rusila, di sini hari ini.
Mengulas berhubung kelewatan proses pelantikan Pengerusi PN, beliau berkata, perkara itu melibatkan pengurusan dan pentadbiran gabungan berkenaan.
“Itu sebab pengurusan dan pentadbiran. Insya-Allah, bila-bila masa (akan diadakan mesyuarat),” kata Tuan Guru yang juga Ahli Parlimen Marang.
Beliau berkata, PAS masih kekal dengan pendirian untuk mencalonkan wakil daripada parti itu bagi jawatan Pengerusi PN, selaras dengan resolusi yang diputuskan dalam Muktamar PAS.
“Itu resolusi Muktamar PAS, calon daripada PAS sebagai Pengerusi,” katanya yang juga bekas Naib Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia.
Mengulas kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memaklumkan sudah ada calon bagi jawatan berkenaan, Abdul Hadi berkata PAS juga mempunyai calon tersendiri.
“Itu pandangan peribadi. PAS ada calon Pengerusi,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi PN di mana sebelum ini mengemukakan pandangan supaya gabungan itu segera mengadakan mesyuarat tergempar.
Menurutnya, pelantikan Pengerusi PN perlu dimuktamadkan dalam masa terdekat memandangkan gabungan itu bakal berdepan pilihan raya.
“Mungkin dalam seminggu dua lagi kerana kita pun dah nak hadapi pilihan raya,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata kenyataan Yang Dipertua PAS Kawasan Sungai Buloh, Zaharudin Muhammad berhubung risiko kehilangan 37 kerusi Parlimen sekiranya Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menerajui PN hanyalah pandangan peribadi. – HARAKAHDAILY 23/1/2026











