Isu rasuah tiada kaitan dengan makan babi 

Dr Azman Ibrahim
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Rasuah adalah masalah besar negara yang melibatkan semua bangsa  atau kaum dan tidak seharusnya dikaitkan dengan isu pemakanan seperti babi yang hangat diperkatakan ketika ini

- Advertisement -

Pengerusi Lajnah Asas Tani dan Kelestarian Alam PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim berkata,  isu rasuah tidak berkaitan dengan apa yang dimakan seseorang, sebaliknya berpunca daripada sikap dan sistem yang membolehkan amalan itu berlaku.

Menurutnya, naratif yang cuba mengaitkan isu pemakanan babi dengan rasuah hanyalah usaha mengalih perhatian daripada masalah sebenar yang timbul daripada penternakan babi.

“Saya tunjukkan sedikit fakta apabila dibawa naratif, ‘kami makan babi tapi kami tak makan rasuah’.

“Dalam isu babi, isu utama yang dibangkitkan ialah soal pencemaran bau, air, persekitaran dan pelbagai lagi isu alam sekitar yang menyesakkan dada. Kawasan menjadi mangsa pula ialah persekitaran yang didiami oleh mereka yang tak makan babi.

“Ini bukan teori tapi realiti. Contohnya, bagaimana orang Melayu Tasik Gelugor Pulau Pinang terpaksa menghidu udara berperisa babi bawaan dari Ladang Ternakan di Kampung Selamat sejak lebih empat dekad yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Azman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri  Terengganu erkata, keputusan untuk makan babi, cara penyediaan atau jumlah hidangan adalah urusan peribadi setiap individu dan keluarga.

“Soal awak nak makan babi, berapa kali sehari nak makan, nak masak babi resepi apa dan nak hidang macam mana, itu terpulanglah kepada mereka dan keluarga mereka.

“Kita hidup dalam sebuah negara yang berbilang bangsa serta agama. Orang Melayu Islam rasa tak dihormati bila ladang penternakan babi beroperasi di kawasan majoriti bukan pemakan babi. 

“Siapa boleh nafikan bahawa bau dan pencemaran dari ladang babi sangat menjijikan dan memualkan. Kenapa mesti orang Melayu Islam yang menjadi mangsa?” Soalnya.

Mengulas lanjut kata beliau, isu rasuah pula adalah masalah semua kaum dan tidak boleh dituding kepada satu bangsa sahaja.

“Pokoknya, jangan alih isu dengan mengaitkan babi dan rasuah. Rasuah adalah masalah semua bangsa. ‘Bangsa C’ ramai bagi rasuah manakala ‘bangsa M’ ramai terima rasuah. 

“Faktornya mudah difahami kerana bangsa M mendominasi perkhidmatan awam. Bangsa-bangsa lain pun ada yang terlibat rasuah sama,” katanya.

Terdahulu, media tempatan melaporkan, Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin menggesa rakyat Malaysia menghormati pilihan makanan setiap kaum dan menghentikan penghinaan terhadap pemakan daging babi. 

Beliau berkata, komuniti Dayak tidak pernah mencela makanan orang lain, malah menyatakan pemakan babi tidak semestinya terlibat dengan rasuah atau dadah serta membandingkan bau babi dengan budu dan belacan. – HARAKAHDAILY 22/1/2026

- Advertisement -