Nikah dengan tunang orang

- Advertisement -

Soalan:

Kita diharamkan meminang tunangan orang. Soalan saya kalau berkahwin juga dengan tunang orang adakah sah nikahnya?

- Advertisement -

Jawapan:

Bernikah dengan tunang orang adalah haram dan lebih besar dosanya dari meminang tunangan orang akan tetapi nikahnya itu sah.

Tersebut pada Kitab Al-Mausu’atul Fiqhiyah:

فَذَهَبَ الْجُمْهُورُ إِلَى أَنَّ عَقْدَ النِّكَاحِ عَلَى مَنْ تَحْرُمُ خِطْبَتُهَا – كَعَقْدِ الْخَاطِبِ الثَّانِي عَلَى الْمَخْطُوبَةِ، وَكَعَقْدِ الْخَاطِبِ فِي الْعِدَّةِ عَلَى الْمُعْتَدَّةِ بَعْدَ انْقِضَاءِ عِدَّتِهَا – يَكُونُ صَحِيحًا مَعَ الْحُرْمَةِ؛ لأِنَّ الْخِطْبَةَ الْمُحَرَّمَةَ لاَ تُقَارِنُ الْعَقْدَ فَلَمْ تُؤَثِّرْ فِيهِ؛ وَلأِنَّهَا لَيْسَتْ شَرْطًا فِي صِحَّةِ النِّكَاحِ

Ertinya: “Maka jumhur ulamak berjalan kepada bahawa aqad nikah orang yang haram meminangnya seperti aqad nikah seorang lelaki dengan perempuan yang telah dipinang dan seperti aqad nikah lelaki yang meminang perempuan yang dalam idah selepas tamat idahnya adalah aqad nikahnya itu sah tetapi haram kerana pinangan yang diharamkan tidak menyertai aqad, maka tidaklah memberi kesan padanya dan kerana sungguhnya meminang itu bukanlah syarat pada sahnya nikah.”

Maksudnya haram bernikah dengan tunang orang tetapi nikahnya itu sah sama seperti haramnya meminang perempuan yang masih dalam idah tetapi jika mereka bernikah selepas habis idah maka nikahnya itu sah.

Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 22/1/2026

- Advertisement -