
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Hulu Selangor, Mohd Hasnizan Harun menegaskan bahawa perbahasan di Dewan Rakyat berkaitan isu babi bukan bertujuan menghina mana-mana pihak atau mempertikaikan hak individu untuk memakan babi.
Beliau berkata, kenyataan yang dibangkitkan sebelum ini hanya memfokuskan kepada isu penternakan babi dari sudut kebersihan, pencemaran dan kesannya kepada penduduk setempat, bukannya kepada pemakan babi.
“Kami tidak ada niat langsung untuk mempertikaikan siapa juga nak makan babi, sebab itu adalah hak masing-masing. Kita tidak mempertikaikan langsung benda itu, tidak,” katanya dalam satu video di media sosial miliknya hari ini.
Mohd Hasnizan berkata demikian bagi menjawab kenyataan Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin berhubung isu berkenaan dan meminta orang ramai khususnya orang Islam supaya tidak marah atau menyerang wakil rakyat berkenaan.
Menurutnya, Ahli Parlimen Puncak Borneo adalah seorang yang baik dan berpengalaman serta berhak menyuarakan pandangan peribadi beliau dalam perbahasan.
“Saya kenal beliau, bukanlah rapat, tapi saya kenal beliau. Beliau adalah MP (Ahli Parlimen) yang agak lama dan beliau menyuarakan pandangan beliau sebagai Ahli Parlimen dan beliau kena menyuarakan,” jelasnya.
Tambah Mohd Hasnizan, perbezaan pandangan termasuk perbandingan bau babi dan budu adalah pandangan peribadi dan tidak wajar dijadikan asas untuk mencetuskan kemarahan.
Beliau menjelaskan, isu sebenar yang dibangkitkannya ialah lokasi penternakan babi di Bukit Tagar yang terletak di kawasan Hulu Selangor dan majoriti penduduknya adalah orang Islam.
“Kita tidak mempertikaikan pemakan babi. Cuma yang dipertikaikan adalah tempat penternakan itu ditempatkan. Jika ia diletakkan di kawasan bukan majoriti orang Islam, saya rasa isu ini tidak akan timbul,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak saling menghormati antara satu sama lain serta bertenang dalam menangani perbezaan pandangan.
Beliau turut menegaskan bahawa isu rasuah tidak boleh dikaitkan dengan mana-mana kumpulan tertentu kerana perbuatan itu boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja termasuk pemakan babi.
“Saya minta rakyat Malaysia bertenang. Jangan marah beliau. Isu tertentu sahaja menyebabkan ketidakselesaan, dan saya sudah menjelaskan perkara ini mewakili rakyat, insya-Allah,” katanya.
Terdahulu, media tempatan melaporkan, Willie Mongin menggesa rakyat Malaysia menghormati pilihan makanan setiap kaum dan menghentikan penghinaan terhadap pemakan daging babi.
Beliau menegaskan komuniti Dayak tidak pernah mencela makanan orang lain, malah menyatakan pemakan babi tidak semestinya terlibat dengan rasuah atau dadah serta membandingkan bau babi dengan budu dan belacan.
Willie menyeru semua pihak mengamalkan sikap saling menghormati demi keharmonian masyarakat seperti dititahkan Yang di-Pertuan Agong. – HARAKAHDAILY 22/1/2026











