
KUALA LUMPUR: Pengumuman kerajaan mengenai kemasukan murid ke Darjah 1 seawal usia enam tahun disifatkan sebagai idea yang hanya menambah kekeliruan dan memeningkan kepala rakyat, tatkala masalah asas pendidikan negara masih gagal diselesaikan.
Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi, Lajnah Penerangan PAS Pusat, Ir Ts Dr Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, cadangan tersebut menimbulkan persoalan besar mengenai kemampuan infrastruktur dan tenaga pengajar sedia ada.
Menurutnya, realiti pendidikan negara ketika ini sedang bergelut dengan isu kekurangan guru, kekurangan kelas serta fasiliti sekolah yang uzur.
“Bila ditambah satu lagi kumpulan murid Darjah 1 umur enam tahun, sekolah mana yang ada kelas kosong? Guru mana yang ada masa lebih?
“Budak enam tahun perlukan perhatian lebih, guru kena lebih sabar dan fokus. Kalau guru pun dah tak cukup, kelas pun dah sesak, apa hal kerajaan nak tambah kerja baru?” soalnya.
Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin mengenai Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 yang antara lain menyebut pendidikan prasekolah bermula usia lima tahun dan Darjah 1 pada usia enam tahun.
Nurul Islam turut membidas cara pengumuman dibuat yang pada mulanya mencetuskan panik dalam kalangan ibu bapa kerana disangka wajib, sebelum Menteri Pendidikan tampil membuat penjelasan susulan bahawa ia adalah pilihan dan bersyarat.
Katanya, kerajaan sepatutnya menumpukan perhatian kepada tuntutan utama ibu bapa yang mahukan penilaian akademik yang jelas seperti pengembalian sistem peperiksaan seumpama Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) serta standard pencapaian pelajar yang boleh diukur.
“Masalah sebenar tak selesai. Yang muncul, idea baru yang tambah memeningkan kepala.
“Untuk umur enam tahun, kita sudah ada prasekolah, tadika, PASTI, Kemas dan swasta yang mengambil tanggungjawab. Kenapa nak alih beban itu ke sekolah rendah pula?” hujahnya.
Walau bagaimanapun, beliau menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan mewajibkan mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah bagi semua aliran pendidikan.
Beliau menyatakan, langkah itu tepat bagi menutup polemik pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan memastikan semua rakyat Malaysia memahami sejarah serta menguasai bahasa kebangsaan.
“Itu saya puji dan setuju 100 peratus. Bak kata Yang di-Pertuan Agong, kalau tak nak Bahasa Melayu, tak payah duduk Malaysia.
“Namun bagi pengumuman yang lain, kelmarin bukan main Menteri kata tunggu ada pengumuman penting. Bila dengar, ‘hampeh’,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/1/2026











