Pesawah serah memo bantah monopoli benih padi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dua memorandum bagi menyuarakan bantahan terhadap cadangan pindaan undang-undang benih serta tuntutan membela kebajikan pesawah dan keterjaminan makanan negara.

Kedua-dua memorandum itu secara amnya menegaskan bahawa kelewatan tindakan kerajaan bukan sahaja menjejaskan pendapatan petani dan pesawah, malah menggugat keterjaminan bekalan makanan negara.

- Advertisement -

Memorandum tersebut diserahkan dalam Himpunan Angkat Hak Petani, Lawan Monopoli yang berlangsung di hadapan pintu masuk Parlimen, di sini semalam.

Antara pimpinan PAS yang hadir ialah Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad; Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Dato’ Ahmad Yahaya; Ahli Parlimen Padang Besar, Rushdan Rusmi; Ahli Parlimen Parit, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib; dan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Jurucakap himpunan, Abdul Rashid Yob berucap mewakili gabungan petani, pesawah, persatuan pengguna, masyarakat orang asal serta pertubuhan masyarakat sivil ketika menyerahkan memorandum itu.

Menurut kenyataan memorandum tersebut, mereka menuntut pembatalan cadangan pindaan Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 (Akta 634) bagi membolehkan penyertaan Malaysia ke dalam Konvensyen Kesatuan Antarabangsa untuk Perlindungan Pelbagai Tumbuhan Baharu (UPOV) 1991.

“Antara disentuh adalah tindakan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyerahkan draf pindaan akta berkenaan kepada Sekretariat UPOV di Geneva pada 23 September 2025 lalu.

“Ia dibuat tanpa rundingan menyeluruh dengan kerajaan negeri, pesawah, petani dan pihak berkepentingan lain, selain disifatkan mencabul kedaulatan negara,” ujar kenyataan memorandum tersebut.

Memorandum berkenaan turut menyatakan bahawa UPOV 1991 dilihat berat sebelah kepada kepentingan agribisnes antarabangsa, berpotensi menjejaskan hak petani kecil, terutama untuk menyimpan, menggunakan, menukar dan menjual benih, selain membuka ruang kepada biopirasi, monopoli syarikat asing serta kenaikan harga benih dan kos sara hidup.

Selain itu, memorandum tersebut menggesa kerajaan menghentikan serta-merta proses penyertaan ke dalam UPOV 1991 dan mengekalkan sistem sedia ada di bawah Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan (PNPV) 2004.

“Akta PNPV sedia ada lebih seimbang dalam melindungi hak petani kecil, masyarakat orang asal, biodiversiti serta kepentingan awam dan negara,” kata kenyataan memorandum berkenaan.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Azhar Hashim turut menyerahkan memorandum khusus mewakili pesawah dari seluruh negara kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Memorandum itu mengandungi tuntutan utama termasuk penetapan kadar siling pemutuan padi pada 20 peratus, kenaikan harga lantai padi kepada RM1,800 satu tan metrik, serta penambahan subsidi harga padi, dan pengurangan kos input pertanian seperti benih, baja dan perkhidmatan jentera.

“PeSAWAH juga menuntut pengekalan elaun menunggu hasil tuaian sebanyak RM600 sebagai elaun bulanan, selain membantah sebarang pindaan Akta PNPV 2004 yang disifatkan berpotensi memperkukuh monopoli korporat.

“Pindaan Akta itu bakal menghapuskan hak tradisi pesawah untuk menyimpan, menukar dan menjual benih sendiri,” tegas kenyataan memoradum tersebut.

Turut dibangkitkan dalam memorandum berkenaan ialah isu kelewatan pengedaran baja, kelemahan pengurusan skim takaful bencana, masalah pengairan sawah di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA).

“Keperluan penyelidikan bagi menangani perosak serta tuntutan audit ketelusan terhadap agihan peruntukan kerajaan kepada pesawah,” ujar kenyataan memorandum itu lagi. – HARAKAHDAILY 21/1/2026

- Advertisement -