British tiada hak pindahkan wilayah Pulau Pinang pada 31 Ogos 1957

Satu analisa sejarah dan perundangan

- Advertisement -

ISU STATUS perundangan Pulau Pinang pada tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, 31 Ogos 1957, terus menjadi perbahasan penting dalam wacana sejarah dan undang-undang negara. Artikel ‘British Tiada Hak Memindahkan Wilayah Pulau Pinang pada 31 Ogos 1957’ mengemukakan hujah bahawa British, sebagai kuasa penjajah, sebenarnya tidak mempunyai hak perundangan yang sah untuk memindahkan kedaulatan Pulau Pinang kepada Persekutuan Tanah Melayu. Hujah ini dibina berdasarkan analisis terhadap sejarah perjanjian, prinsip undang-undang antarabangsa, adat Melayu serta peruntukan Perlembagaan berkaitan kemerdekaan.

Pulau Pinang pada asalnya merupakan sebahagian daripada wilayah Kesultanan Kedah. Kedudukannya sebagai wilayah Kedah tidak pernah dipertikaikan sebelum campur tangan British pada akhir abad ke-18. Kehadiran British bermula melalui siri perjanjian antara Kesultanan Kedah dan pihak British, khususnya Perjanjian 1791 dan 1802.

Perjanjian ini tidak boleh ditafsirkan sebagai penyerahan mutlak kedaulatan, sebaliknya lebih tepat difahami sebagai satu bentuk pajakan atau kebenaran menduduki wilayah dengan syarat tertentu, termasuk kewajipan pembayaran tahunan kepada Kedah.

- Advertisement -

Dokumen asal dalam tulisan Jawi serta syarat-syarat dalam perjanjian menunjukkan sifat hubungan tersebut lebih mirip pajakan (lease) dengan kewajipan bayaran, bukan penyerahan penuh (cession) wilayah kepada British.

Oleh itu, hak British ke atas Pulau Pinang adalah bersifat bersyarat dan bergantung kepada pendudukan berterusan, bukannya pemilikan wilayah secara mutlak.

Dari sudut perundangan, tafsiran perjanjian tersebut tidak boleh dibuat secara eksklusif menurut undang-undang Inggeris, khususnya sebelum berkuat kuasanya Piagam Keadilan 1807. Pada tempoh awal ini, prinsip undang-undang antarabangsa dan adat tempatan, termasuk adat Melayu, perlu diambil kira. Dalam konteks adat dan tradisi Melayu, Sultan sebagai pemerintah Islam tidak mempunyai amalan menyerahkan wilayah kepada kuasa asing bukan Islam secara mutlak.

Justeru, tidak wujud asas yang kukuh untuk mendakwa British memperoleh kedaulatan penuh ke atas Pulau Pinang melalui perjanjian-perjanjian awal tersebut. Atau kata yang lain sejak awal lagi Pulau Pinang tidak pernah memiliki apa-apa kedaulatan.

Apabila Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, satu persoalan besar timbul mengenai siapakah pihak yang mempunyai hak sah untuk memindahkan atau menyerahkan wilayah Pulau Pinang. Melalui Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957, Persekutuan mengambil alih hak, obligasi dan liabiliti British. Namun begitu, prinsip pengambilalihan tersebut hanya terpakai sekiranya British sememangnya memiliki hak yang sah untuk dipindahkan.

Semasa kemerdekaan, melalui Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957, semua perjanjian sebelumnya dibatalkan kecuali yang berkaitan dengan wilayah, dan Persekutuan itu mengambil alih hak, liabiliti dan obligasi British terhadap wilayah termasuk Pulau Pinang.

British telah kehilangan semua hak ke atas Pulau Pinang apabila mereka berhenti menduduki wilayah tersebut, kerana berdasarkan perjanjian awal (1791, 1802, 1869), hak itu wujud selagi pendudukan British berjalan.

Oleh itu, tiada instrumen undang-undang yang sah diluluskan oleh Majlis Negeri Kedah sebelum 31 Ogos 1957 yang secara jelas menyerahkan hak wilayah Pulau Pinang kepada Malaysia atau Pulau Pinang sebagai negeri bagi pihak Persekutuan.

Dalam kes Pulau Pinang, hak British telah luput sebaik sahaja pendudukan mereka berakhir, kerana perjanjian asal meletakkan hak itu bergantung kepada pendudukan dan bukan pemilikan kekal.

Tambahan pula, tiada instrumen perundangan yang jelas menunjukkan satu penyerahan wilayah Pulau Pinang oleh Kerajaan Negeri Kedah kepada Persekutuan Tanah Melayu sebelum 31 Ogos 1957. Tiada kelulusan Majlis Negeri Kedah yang secara nyata dan formal menyerahkan kedaulatan wilayah tersebut.

Oleh itu, dari perspektif undang-undang, British tidak mempunyai kedudukan untuk ‘memindahkan’ Pulau Pinang kepada mana-mana entiti lain pada tarikh kemerdekaan, kerana mereka sendiri tidak lagi mempunyai hak yang sah ke atas wilayah tersebut.

Berdasarkan keseluruhan analisis ini, dakwaan British memindahkan Pulau Pinang kepada Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 adalah tidak tepat dari sudut sejarah dan perundangan. Kedaulatan British ke atas Pulau Pinang tidak pernah wujud secara mutlak, sebaliknya bersifat sementara dan bersyarat.

Berdasarkan fakta sejarah dan perundangan yang dibentangkan, kesimpulannya,

British tidak mempunyai hak sah untuk ‘memindahkan’ Pulau Pinang pada 31 Ogos 1957, kerana hak itu menurut perjanjian terdahulu hanya wujud berdasarkan pendudukan.

Peruntukan Perlembagaan Persekutuan seperti Perkara 166(1), 166(2) dan 167(2)(a) yang dirujuk tidak mengabdikan pemindahan hak oleh British, kerana British pada masa itu tidak lagi mempunyai hak untuk dipindahkan.

Peruntukan Perlembagaan Persekutuan seperti Perkara 166(1), 166(2) dan 167(2)(a) yang dirujuk tidak mengabdikan pemindahan hak oleh British, kerana British pada masa itu tidak lagi mempunyai hak untuk dipindahkan.

Justeru, isu ini perlu dilihat semula secara berfakta dan berperundangan, termasuk kemungkinan keperluan rundingan semula dengan Kerajaan Kedah sebagai pihak asal yang mempunyai hubungan kedaulatan dengan Pulau Pinang.

Walaupun realiti politik dan pentadbiran hari ini mengiktiraf Pulau Pinang sebagai sebuah negeri dalam Persekutuan Malaysia, namun ia tidak akan dapat memadamkan hak Kedah untuk terus menuntut kembali Pulau Pinang sebagai sebahagian wilayah asal Kedah. Persoalan asas perundangan dan sejarahnya wajar difahami dengan lebih teliti dan jujur.

WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN – HARAKAHDAILY 21/1/2026

Sumber Asal: https://www.facebook.com/share/1DY7A4wpn2/

Rujukan: https://dewanmasyarakat.jendeladbp.my/2026/01/05/34492/

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -