
KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh perlu memastikan komitmen untuk menentang sebarang tindakan melampau DAP dilakukan secara menyeluruh oleh pimpinan Umno di peringkat Pusat, dan bukan hanya di peringkat negeri.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man sehubungan itu berkata, peletakan jawatan Akmal sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Kerajaan Negeri Melaka dilihat tidak memberi impak besar sekiranya pendirian tegas tersebut tidak diterjemahkan di peringkat Persekutuan.
“Apa sangat ada di Melaka? Kalau Akmal boleh tunjukkan komitmen dia untuk menentang sebarang tindakan melampau pihak-pihak DAP, sepatutnya itu diterjemahkan di peringkat Pusat.
“Kita pun nak lihat sejauh mana Pusat juga harus ambil tindakan yang sama, tidak lagi kompromi dengan benda-benda yang menyebabkan timbul polemik,” katanya kepada pemberita, semalam.
Semalam, Akmal mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka berkuat kuasa minggu depan semasa menyampaikan ucapan dasar di Perhimpunan Agung Pemuda Umno 2025.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu menegaskan keputusan tersebut dibuat bagi membolehkan beliau memberi fokus sepenuhnya untuk menentang DAP ‘habis-habisan’ tanpa terikat dengan jawatan dalam kerajaan, selain membawa suara akar umbi yang resah dengan kerjasama parti itu.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, jika Umno benar-benar parti yang memperjuangkan agama dan bangsa, mereka tidak boleh hanya membenarkan tindakan protes di peringkat negeri semata-mata, sedangkan kerjasama masih berlaku di negeri-negeri lain seperti Perak, Pahang dan Selangor serta di peringkat Persekutuan.
“Saya ucapkan (tahniah) kepada Akmal terhadap sikap dan tindakan beliau, namun semua tindakan begitu tidak akan memberi impak besar kalau tidak didukungi oleh tindakan-tindakan lain daripada itu.
“Ia mesti ada impak dan tindakan beliau sebagai tanda komitmen kepada apa yang diperjuangkan oleh Pemuda Umno khususnya,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 16/1/2026











