
KUALA LUMPUR: Agensi umrah mengesahkan seorang jemaah umrah di bawah kendaliannya, pelakon filem Syaitan Munafik dan Kundeta, Nadia Kesuma atau nama sebenarnya Nadiah Kesumawati Abdul Karim gagal dikesan sejak 15 Januari 2026 selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah ketika transit sebelum meneruskan penerbangan ke London.
Dalam satu kenyataan rasmi pada Jumaat, syarikat berkenaan memaklumkan sebelum itu jemaah Nadia menyertai Pakej Umrah Ziarah London & Paris bersama 21 jemaah lain.
Menurut kenyataan itu, pihak agensi telah menguruskan proses daftar masuk serta mengeluarkan dua pas masuk penerbangan kepada jemaah berkenaan bagi sektor Kuala Lumpur–Jeddah dan Jeddah–Heathrow (London).
“Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah bagi tujuan transit sementara sebelum ke London, semua jemaah termasuk Nadia Kesumawati telah diberi taklimat oleh Ketua Rombongan dan dimaklumkan supaya berkumpul semula di lokasi ditetapkan selepas urusan peribadi,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, ketika kumpulan jemaah telah berkumpul dan beratur untuk penerbangan seterusnya, Nadia Kesumawati didapati tidak berada bersama rombongan tersebut.
Ketua rombongan kemudian segera memaklumkan perkara tersebut kepada pihak pengurusan Lapangan Terbang Jeddah, sebelum tiga pengumuman awam dibuat bagi memanggil jemaah berkenaan ke balai berlepas.
“Usaha pencarian turut dilakukan di sekitar kawasan lapangan terbang, namun beliau masih gagal ditemui. Disebabkan tempoh menunggu yang lama serta arahan operasi penerbangan, pesawat akhirnya berlepas ke London tanpa kehadiran beliau,” jelas kenyataan itu.
Susulan kejadian tersebut, ibu pejabat agensi di Malaysia segera dimaklumkan dan tindakan pantas diambil dengan menghubungi petugas syarikat di Makkah dan Jeddah, selain memaklumkan kepada suami jemaah berkenaan serta pihak muassasah di Arab Saudi.
Pihak syarikat turut memaklumkan usaha pencarian sedang digerakkan secara berterusan dengan kerjasama pihak berkuasa dan pengurusan Lapangan Terbang Jeddah.
“Percubaan menghubungi telefon bimbit Puan Nadiah juga telah dibuat, namun setakat ini tiada jawapan diterima dan mesej yang dihantar masih belum dibaca.
“Sehingga kenyataan ini dikeluarkan, Puan Nadiah Kesumawati masih belum dapat dikesan dan pihak kami kekal komited menjalankan usaha pencarian secara aktif,” ujar kenyataan itu lagi.
Sehubungan itu, agensi itu merayu orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi atau maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu proses pencarian dan siasatan.
Syarikat itu turut memohon doa daripada semua pihak agar Puan Nadiah Kesumawati dapat ditemui dengan segera dan berada dalam keadaan selamat.
“Segala perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui saluran rasmi syarikat,” kata kenyataan itu. – HARAKAHDAILY 16/1/2026











