
SHAH ALAM: Sekretariat Gabungan NGO Melayu Islam menyerahkan memorandum untuk menyatakan sokongan padu terhadap titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melalui Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
Wakil sekretariat, Ustaz Masridzi Sat berkata, penyerahan tersebut diadakan dalam satu himpunan aman yang dijangka berlangsung dalam pekarangan bangunan MAIS Shah Alam di sini pada jam 11 pagi Jumaat.
Beliau berkata, lebih 100 NGO Melayu Islam menyatakan sokongan terhadap pendirian tegas Sultan Selangor membabitkan dua isu utama iaitu penganjuran aktiviti LGBT dan masalah penternakan babi di Selangor.
“Kita membincangkan isu yang kita kira isu mengancam kepada umat Islam di Selangor dan Malaysia amnya, jadi alhamdulillah kita telah setuju untuk mengadakan satu himpunan aman pada esok hari, hari jumaat.
“Sebenarnya bukan himpunan sangat, dia lebih kepada kita berkumpul bagi menyerahkan memorandum secara aman, kalau sebut himpunan karang orang sibuk minta permit pula dan MAIS pun dapat beri kerjasama,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media hari ini, turut dihadiri Pengerusi Sekretariat Gabungan NGO Melayu Islam, Syed Hassan Syed Ali; Timbalan Presiden Muafakat Nasional, Prof. Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah.
Sultan Selangor sebelum ini dilaporkan media menzahirkan bantahan keras terhadap gaya hidup yang bercanggah nilai agama termasuk penganjuran program ‘Glamping with Pride’ pada 17 dan 18 Januari di Hulu Langat.
Sehubungan itu, Baginda telah mengarahkan MAIS dan Jabatan Mufti Selangor untuk mengenakan tindakan keras bagi menghalang sebarang bentuk aktiviti, program perarakan yang mempromosikan gaya hidup tersebut di seluruh negeri Selangor.
Mengenai isu penternakan babi, terutamanya di Tanjong Sepat, Kuala Langat, Baginda menitahkan semua operasi penternakan babi dihentikan secara berperingkat dan dipindahkan sepenuhnya ke Bukit Tagar pada tahun ini.
Malah titah baginda turut membabitkan arahan kepada kerajaan negeri agar tidak dibenarkan menyalurkan dana peruntukkan kewangan negeri mahupun menjana pelaburan dalam sektor penternakan tersebut pada masa depan.
Selain itu baginda turut mengarahkan agar kerajaan negeri mengadakan satu bancian penduduk di Bukit Tagar dan melakukan kajian terperinci terhadap permintaan sebenar daging babi dalam kalangan penduduk bukan Islam.
Sultan Selangor juga menegaskan kerajaan negeri tiada perancangan atau hasrat untuk mengeksport hasil produk tenakan babi ke luar biarpun Selangor menduduki tangga keempat selepas Perak, Pulau Pinang dan Sarawak. – HARAKAHDAILY 16/1/2026











