
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia memandang serius perkembangan mutakhir yang menyaksikan kebanjiran penganjuran konsert artis luar negara di Kuala Lumpur, khususnya dari Korea Selatan menerusi ‘K- Spark in Malaysia’ pada 31 Januari ini yang menampilkan G-Dragon, Hwasa dan ITZY serta Dolla dari Malaysia, selain perancangan kehadiran kumpulan BTS.
Pengerusi Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Mohamed Sukri Omar berkata, dalam masa sama isu persembahan kumpulan tempatan seperti Dolla yang mencetuskan kontroversi berkaitan imej dan penampilan turut menimbulkan kebimbangan awam.
Menurutnya, Pemuda PAS Malaysia menegaskan bahawa Islam tidak menolak seni dan hiburan, namun hiburan bukan sektor bebas nilai, sebaliknya wajib berada dalam kerangka syariah, akhlak dan budaya masyarakat Malaysia yang menjadikan Islam sebagai agama Persekutuan.
“Kami menolak sekeras-kerasnya sebarang usaha menormalisasikan hiburan yang menjurus kepada hedonisme, pemujaan selebriti melampau, eksploitasi seksual serta pencairan nilai agama dan jati diri anak muda Islam,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kebimbangan Pemuda PAS Malaysia bukan terletak pada kewarganegaraan artis, sebaliknya mesej, imej dan budaya yang dibawa serta kesannya terhadap pemikiran dan akhlak generasi muda.
Mohamed Sukri menegaskan, kesan langsung yang semakin ketara dapat dilihat antaranya pembentukan pemikiran yang mengagungkan artis sebagai idola utama, perubahan gaya hidup ke arah kebebasan tanpa disiplin serta hakisan nilai malu dan adab apabila unsur provokatif dianggap sebagai norma hiburan.
Mengulas isu kumpulan tempatan yang tampil dengan imej keterlaluan, beliau berkata industri hiburan tempatan tidak seharusnya diasuh untuk percaya bahawa kejayaan hanya boleh dicapai melalui sensasi, pendedahan tubuh dan peniruan budaya luar yang bercanggah dengan nilai masyarakat.
Sehubungan itu, beliau menyatakan bahawa Pemuda PAS Malaysia menggesa Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri memperketat dasar kawal selia hiburan secara konsisten dan berteraskan nilai agama serta budaya tempatan.
Selain itu katanya, pihak penganjur diminta memikul tanggungjawab moral dan sosial, bukan sekadar mengejar keuntungan ekonomi, manakala industri hiburan tempatan diseru membina kreativiti dan bakat tanpa mengorbankan maruah serta nilai.
Pemuda PAS Malaysia, ujarnya lagi, turut menggesa ibu bapa, pendidik dan masyarakat bersama-sama memperkukuh benteng akidah dan akhlak anak muda.
“Pemuda PAS Malaysia tidak anti seni dan hiburan. Namun kami tegas mempertahankan Islam sebagai panduan hidup, maruah generasi muda dan masa depan ummah.
“Hiburan yang merosakkan jiwa dan akhlak tidak wajar dinormalisasikan atas nama kemajuan atau kebebasan,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/1/2026











