Kerja tanah projek KB Sentral bermula, tapak seluas 5 ekar

JKR pantau sepenunya projek pembangunan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerja-kerja rawatan tanah bagi Cadangan Pembangunan Terminal Kota Bharu (KB Sentral) telah mula dilaksanakan di tapak projek seluas kira-kira lima ekar.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Dato’ Dr Izani Husin berkata, pelaksanaan fasa pertama melibatkan kerja-kerja rawatan tanah yang kini sedang berjalan dan dipantau sepenuhnya oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi taklimat dan lawatan tapak Projek KB Sentral di Tunjong, dekat sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar, Saizol Ismail, Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri Kelantan (UPEN) Wan Zulfadhli Syahman Wan Yusof serta Pengarah JKR Kelantan Nik Badlihisham Nik Ismail.

Menurut Dr Izani, kerja-kerja rawatan tanah itu dilaksanakan oleh syarikat China Harbour Engineering Company (CHEC).

“Ia melibatkan penggunaan kaedah Prefabricated Vertical Drain (PVD) bagi tujuan pengaliran keluar air tanah serta menstabilkan struktur tapak projek,” katanya.

Beliau menjelaskan, tapak projek yang merupakan kawasan tanah bendang memerlukan rawatan khas sebelum sebarang pembinaan dapat dimulakan.

“Oleh sebab itu, kaedah PVD digunakan bagi memastikan kestabilan tanah sebelum pembinaan sebenar dijalankan,” ujarnya.

Dr Izani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang berkata, proses rawatan tanah melibatkan pengorekan tanah sedalam dua meter, ditambun semula pada kedalaman sama serta penambahan tanah pemberat bagi memastikan proses pemampatan berlaku dengan sempurna.

“Tapak ini tidak boleh dibina secara terus tanpa rawatan awal yang rapi kerana ia boleh memberi kesan kepada struktur binaan pada masa hadapan,” katanya.

Beliau turut menegaskan projek KB Sentral merupakan antara projek keutamaan kerajaan negeri dengan sokongan penuh daripada JKR dan UPEN Negeri Kelantan.

“Insya-Allah, dengan kerjasama semua pihak, kerja-kerja tambunan tanah ini diyakini dapat disiapkan mengikut perancangan, dengan JKR Kelantan bertindak sebagai pemantau utama projek melalui penglibatan pegawai berpengalaman,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/1/2026

- Advertisement -