
KUALA LUMPUR: “Alhamdulillah. Kami berbincang dan bersepakat untuk mengukuhkan PN (Perikatan Nasional),” demikian dinyatakan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada status dimuat naik di media sosial peribadinya.
Turut dilampirkan adalah beberapa keping gambar beliau bersama Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang dipercayai mengadakan kunjungan ke kediaman Muhyiddin, di sini petang tadi.
Pertemuan tersebut dilihat turut disertai Setiausaha dan Timbalan Setiausaha Agung PN, Dato’ Seri Mohamad Azmin Ali dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan bersama Ahli Majlis Tertinggi PN, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man.
Masing-masing mereka dilihat mengukir senyuman ceria yang diserlahkan lagi dengan penyataan ringkas Muhyiddin mengisyaratkan iltizam para peneraju tersebut untuk terus melangsungkan agenda bersama gabungan tersebut.
Sekali gus, segala hasutan dan adu domba serta jangkaan pihak-pihak tertentu yang mengharapkan struktur pasukan ini roboh, ternyata tidak mudah dileraikan ikatannya dari sikap tenang dan matang ditunjukkan para pemimpin PN.
Penyataan-penyataan sinis melibatkan beberapa pemimpin tertinggi PN khususnya PAS dan BERSATU susulan insiden politik yang melanda gabungan tersebut sejak hujung tahun lalu ternyata umpama ‘kocakan air dalam cawan’.
Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden PAS dalam perkongsian gambar dimuat naik di media sosialnya dari pertemuan sama turut menyatakan status positif senada dengan hantaran oleh Tan Sri Muhyiddin.
“Kami berbincang bagi memperkukuhkan Perikatan Nasional. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Insya-Allah sepakat membawa berkat,” ujarnya dalam status ringkas dilampirkan gambar pertemuan itu.
Reaksi kesyukuran juga dilihat diberikan banyak pihak yang turut bersetuju bahawa perkembangan tersebut di mana antaranya menyifatkan akan lebih hebat dan kuat serta mulia dan menyatukan ummah selepas ini.
Tidak kurang yang menempelak pihak berhasrat melihat PN berkecai dan porak peranda, namun sebaliknya bahtera itu terus belayar tenang merentas gelora dipacu kesetiaan awak-awaknya dan keyakinan terhadap arah tuju. – HARAKAHDAILY 16/1/2026












