
KUANTAN: Tindakan Umno melantik penyelaras di semua Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikuasai pembangkang disifatkan sebagai satu pencabulan terhadap hak rakyat dan bercanggah dengan semangat demokrasi berparlimen.
Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Pahang, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya berkata, urusan kebajikan dan perkhidmatan rakyat sepatutnya diuruskan oleh wakil rakyat yang dipilih secara sah melalui pilihan raya, bukannya individu yang dilantik kerajaan.
“Ini hak rakyat. Mereka sudah membuat pilihan, tetapi hak itu dinafikan apabila kerajaan melantik penyelaras di kawasan yang sudah mempunyai wakil rakyat,” katanya kepada pemberita, di pusat khidmat DUN Panching, semalam.
Menurut beliau, pelantikan berkenaan bukan sahaja mengelirukan rakyat, malah mewujudkan sekatan terhadap wakil rakyat pembangkang, termasuk dari segi peruntukan serta akses kepada jabatan dan pegawai kerajaan.
“Dalam keadaan biasa, rakyat akan mencari wakil rakyat untuk menyelesaikan masalah. Itu amalan biasa dalam mana-mana negara demokrasi.
“Tetapi apa yang berlaku hari ini, penyelaras dilantik bukan sebagai sokongan, sebaliknya menjadi ‘lawan’ kepada wakil rakyat sedia ada,” katanya.
Beliau turut mengimbas pengalaman pembangkang sebelum ini yang berdepan situasi sama apabila dinafikan hak sebagai wakil rakyat walaupun dipilih oleh rakyat.
Tambahnya, meskipun berdepan pelbagai kekangan, wakil rakyat PN masih mampu menjalankan tanggungjawab dalam keterbatasan yang ada.
“Program kebajikan terus berjalan dan rakyat boleh melihat dengan jelas siapa yang benar-benar bekerja untuk mereka walaupun hak mereka sebagai pengundi dinafikan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan pelantikan penyelaras sebagai tindakan yang tidak selari dengan Perlembagaan dan sukar diterima oleh sebahagian besar masyarakat.
“Penyelaras yang dilantik ni, memang tak dapat diterima oleh sebahagian besar masyarakat. Kenapa mesti ada lagi penyelaras sedangkan dah ada wakil rakyat. Sepatutnya peruntukan itu disalurkan kepada wakil rakyat.
“Jadi kalau sudah dilantik, jalankan tugas dengan betul. Jangan pula apabila rakyat datang meminta bantuan, mereka disuruh pergi ke pejabat YB,” ujarnya.
Sehubungan itu beliau yakin berdasarkan rekod semasa, Perikatan Nasional masih berupaya mengekalkan kemenangan di beberapa DUN termasuk Panching dan kawasan lain di Pahang pada pilihan raya akan datang.
“Rakyat hari ini menilai berdasarkan prestasi. Penentu keputusan pilihan raya bukan ahli parti, tetapi pengundi atas pagar. Mereka akan melihat siapa yang benar-benar bekerja untuk rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/1/2026











