Islam Umno sekadar slogan politik – Rozi Muhamad

- Advertisement -

PASIR MAS: Dakwaan Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa Umno meletakkan Islam sebagai dasar parti disifatkan tidak lebih daripada slogan politik kosong tanpa sebarang bukti pelaksanaan di peringkat pentadbiran.

Ketua Penerangan PAS Pasir Mas, Rozi Muhamad berkata, realiti pemerintahan Umno di negeri-negeri yang dikuasai parti itu membuktikan dakwaan tersebut jauh menyimpang daripada amalan sebenar.

- Advertisement -

Menurutnya, sekiranya Umno benar-benar serius menjadikan Islam sebagai asas perjuangan, parti itu sudah lama melaksanakan dasar Islam sebagaimana dilakukan di Kelantan termasuk menutup premis perjudian, menyekat hiburan melampau, mengawal penjualan arak dan memperkukuh dasar moral masyarakat.

“Umno masih mentadbir Johor dan Melaka, namun sehingga hari ini langsung tidak kelihatan usaha ke arah pelaksanaan dasar Islam seperti yang dilaksanakan di Kelantan,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Baru-baru ini, Zahid dilaporkan berharap PAS akan ‘terbubar sendiri’ dengan alasan Umno lebih awal meletakkan Islam sebagai dasar parti menerusi pindaan perlembagaan Umno pada 2019.
Zahid turut mendakwa Umno kononnya banyak berjasa dalam memartabatkan Islam termasuk melalui Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas kenyataan itu, Rozi menegaskan perbezaan antara PAS dan Umno amat jelas, bukan sekadar pada slogan tetapi pada keberanian menterjemahkan Islam dalam dasar dan pentadbiran.

Tambahnya, Umno hanya meletakkan Islam dalam perlembagaan parti sebagai kosmetik politik, namun gagal menjadikannya panduan dalam urus tadbir dan kehidupan masyarakat.
“Islam hanya muncul sebagai modal kempen ketika Umno semakin kehilangan sokongan rakyat, khususnya apabila berdepan dengan PAS,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tendong berkata, kenyataan Zahid yang menggambarkan PAS akan ‘terbubar sendiri’ jelas mencerminkan kegusaran Umno terhadap realiti kemerosotan pengaruh politiknya.

“Umno kini tinggal 26 kerusi Parlimen berbanding 54 kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14. Ini bukti penolakan rakyat.

“Islam di sisi Umno sekadar skrip politik yang diulang ketika kuasa semakin rapuh, sedangkan PAS membuktikan komitmen Islam melalui pelaksanaan dan amalan dalam pentadbiran kerajaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/1/2026

- Advertisement -