Ternakan babi perlu dikawal kerajaan elak mudarat

Demi maslahat dan keharmonian

- Advertisement -

DEWAN Ulamak PAS Pusat mengambil maklum polemik yang timbul berhubung isu ternakan babi yang hangat diperkatakan kebelakangan ini sehingga mendapat perhatian dan teguran oleh Sultan Selangor. Isu ini wajar ditangani secara cermat, berprinsip dan berpaksikan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini serta mengambil kira maslahat umum dan sensitiviti agama.

Dewan Ulamak PAS Pusat menegaskan bahawa Islam secara jelas melarang umat Islam terlibat dalam penternakan, pemilikan dan perdagangan khinzir berdasarkan nas yang sahih, antaranya sabda Rasulullah SAW:

- Advertisement -

“Sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya mengharamkan jual beli arak, bangkai, khinzir dan berhala.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Namun dalam masa yang sama, Islam tidak menyekat hak orang bukan-Islam untuk memakan babi atau menjalankan aktiviti perniagaan serta penternakan tersebut. Walau bagaimanapun, kebebasan ini tidak bersifat mutlak dan mesti dikawal agar tidak dilakukan secara terbuka dan meluas sehingga mengganggu sensitiviti umat Islam serta menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat Muslim.

Dalam panduan pentadbiran Islam seperti yang direkodkan sewaktu pemerintahan Khulafa’ ar-Rasyidin, setiap kegiatan yang melibatkan perkara yang diharamkan kepada umat Islam hendaklah berada di bawah kawalan pemerintah.

Urusan penternakan, pengurusan dan pengawasan tidak boleh diserahkan secara bebas kepada pihak swasta semata-mata, sebaliknya perlu melalui pelantikan, kelulusan dan pemantauan pihak kerajaan, selaras dengan kaedah fiqh:

تصرف الإمام منوط بالمصلحة

(Tindakan pemerintah terikat dengan maslahat umum).

Dewan Ulamak PAS Pusat berpandangan bahawa penggubalan akta percukaian khusus, perlesenan yang ketat serta bayaran tetap ke atas setiap aktiviti ternakan dan jualan babi merupakan mekanisme penting bagi menandakan kawalan kerajaan yang menyeluruh terhadap industri ini, di samping mengelakkan ia berkembang secara tidak terkawal serta mencetuskan mudarat kepada masyarakat dan alam sekitar.

Kebimbangan utama yang timbul ialah apabila ladang ternakan babi dicadangkan berhampiran penempatan, termasuk kawasan yang didiami oleh orang bukan-Islam, tanpa mengambil kira kesan sosial, kesihatan awam, alam sekitar serta sensitiviti komuniti sekeliling, khususnya umat Islam. Islam menegaskan prinsip pencegahan mudarat melalui kaedah fiqh:

لا ضرر ولا ضرار

(Tidak boleh memudaratkan dan tidak boleh dimudaratkan).

Sehubungan itu, Dewan Ulamak PAS Pusat menggesa kerajaan negeri agar mengambil kira secara serius suara dan pandangan penduduk setempat kerana keputusan yang dibuat melibatkan kepentingan ramai pihak. Pungutan suara, rundingan awam serta persetujuan masyarakat setempat wajar diberi keutamaan sebelum sebarang kelulusan diberikan kepada pengusaha atau penternak babi.

Dewan Ulamak PAS Pusat turut menggesa Kerajaan Persekutuan supaya menggubal satu akta serta sistem percukaian yang lebih khusus, tersusun dan sistematik bagi mengawal aktiviti ternakan dan jualan babi di seluruh negara. Langkah ini penting bagi memastikan pengawalan yang selari dengan pendekatan pentadbiran Islam yang menekankan kawalan, keadilan, kebajikan masyarakat serta penghormatan terhadap sensitiviti agama dalam negara majmuk.

Dewan Ulamak PAS Pusat menyeru semua pihak agar menjadikan keharmonian masyarakat, kebijaksanaan tadbir urus dan penghormatan terhadap agama Islam sebagai asas utama dalam menangani isu ini demi kesejahteraan negara dan kestabilan sosial jangka panjang.

Sekian.

DATO’ USTAZ MOHD NOR HAMZAH
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 12/1/2026

- Advertisement -