Pelantikan Ahli Majlis PBT kontrak amanah dengan Allah, rakyat

Mohd Nassuruddin Daud
- Advertisement -

KOTA BHARU: Pelantikan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Kelantan bagi tahun 2026 bukan sekadar pengiktirafan jawatan, sebaliknya merupakan satu kontrak amanah yang mengikat tanggungjawab dengan Allah SWT dan juga rakyat.

Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, seramai 288 Ahli Majlis PBT yang dilantik perlu memahami bahawa setiap keputusan, pandangan dan kelulusan yang dibuat akan dipertanggungjawabkan di dunia dan akhirat.

- Advertisement -

“Watikah pelantikan ini adalah simbol kesanggupan memikul amanah kepimpinan dengan penuh kejujuran, keadilan dan integriti, bukan medan untuk dibanggakan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Majlis PBT Negeri Kelantan Tahun 2026 di Dewan Tok Guru Dato’ Bentara Setia, Kompleks Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Menurutnya, setiap Ahli Majlis wajib memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing melalui pematuhan kepada peruntukan undang-undang termasuk Akta Kerajaan Tempatan 1976, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 serta Akta Perancangan Bandar dan Desa.

“Jawatan dalam Islam bukan alat untuk kepentingan peribadi atau kemegahan, sebaliknya medan pertanggungjawaban yang akan diperhitungkan sama ada membawa maslahat atau kemudaratan kepada masyarakat,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa asas kepimpinan Islam berpaksikan keseimbangan antara pahala dan dosa, serta jawatan yang dipikul dianggap sebagai satu bentuk ibadah.

Dalam masa yang sama, beliau menyeru Ahli Majlis supaya menghayati tunjang Dasar Membangun Bersama Islam (MBI) iaitu Ubudiyyah, Mas’uliyyah dan Itqan (UMI) dalam setiap urusan pentadbiran.

Tambah beliau, Ahli Majlis tidak wajar sekadar menjadi pemerhati, sebaliknya perlu hadir mesyuarat, terlibat secara aktif dalam perancangan serta menjadi rakan strategik yang berintegriti kepada pentadbiran PBT.

“Saya berharap semua Ahli Majlis dapat menunaikan amanah yang diberikan dengan penuh keikhlasan dan rasa takut kepada Allah SWT demi kesejahteraan rakyat dan negeri,” katanya.

Sementara itu dalam ucapan dari Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah pula berkata, Ahli Majlis PBT merupakan tonggak utama dalam pengurusan dan pembangunan di peringkat kerajaan tempatan.

Beliau menyatakan, pelantikan seramai 288 Ahli Majlis bagi tahun 2026 adalah satu penghargaan dan tanggungjawab besar kerana ia memerlukan integriti serta komitmen tinggi dalam melaksanakan amanah masyarakat setempat.

“Pelantikan ini menunjukkan kepercayaan penuh Kerajaan Negeri terhadap Ahli Majlis yang terpilih untuk memikul tanggungjawab yang tidak semua orang mampu dan berkelayakan,” katanya lagi.

Beliau menegaskan, Ahli Majlis berperanan sebagai penyampai dan jurucakap PBT, membentuk dasar, menyemak pengurusan pentadbiran, meluluskan undang-undang kecil, serta menjadi penggerak kepada program Kelantanku Bersih di peringkat komuniti.

“Untuk memastikan keberkesanan peranan Ahli Majlis, kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM17.5 juta pada tahun 2026 bagi bantuan kewangan kepada semua PBT,” katanya.

“Pada tahun sebelumnya, sejumlah RM23.99 juta telah dibelanjakan bagi pelbagai tujuan termasuk kebersihan, pengurusan tapak pelupusan, projek pembangunan, dan pemberian pengecualian cukai taksiran,” jelasnya.

Peruntukan ini, ujar beliau, diharap menjadi suntikan semangat untuk merancang dan menggiatkan lagi kempen Kelantanku Bersih sekaligus melestarikan alam sekitar di bumi Kelantan.

Beliau juga menekankan, kejayaan dasar dan program kerajaan tempatan bukan hanya bergantung kepada kerajaan negeri semata-mata tetapi juga memerlukan kerjasama dan komitmen Ahli Majlis di lapangan.

“Besar harapan Kerajaan Negeri supaya Ahli Majlis dapat memainkan peranan yang lebih efisien bagi memastikan PBT memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” katanya.- HARAKAHDAILY 12/1/2026

- Advertisement -