
KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda PAS, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden dilihat memulangkan paku buah keras kepada rakan sejawatnya, Ketua Armada BERSATU, Muhammad Hilman Idham.
Reaksi Afnan itu susulan ulasan Hilman terhadap pandangan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang untuk Majlis Tertinggi (MT) PN mengadakan Mesyuarat Tergempar.
Presiden PAS itu terdahulu dalam surat rasminya menyatakan keperluan dipanggil segera mesyuarat tersebut berikutan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah berkuatkuasa melebihi 10 hari.
Justeru bagi tujuan kelangsungan pentadbiran PN, beliau berpandangan mesyuarat itu adalah untuk membincangkan penerimaan dan mengesahkan peletakan jawatan Pengerusi PN; dan seterusnya melantik Pengerusi PN baharu.
Hilman bagaimanapun dalam ulasannya menggesa untuk setiap parti komponen PN itu dihormati dalam membuat ketetapan masing-masing sebelum memuktamadkan perkara berkaitan dalam Mesyuarat MT PN.
Afnan yang juga Ketua Pemuda PN sehubungan itu segera memberikan kata-kata memperingat dan memuhasabahkan kembali Hilman terhadap beberapa tindakan pernah dibuat BERSATU sebelum ini.
“Nak tanya sikit. Masa kamu umumkan pemimpin parti kamu (BERSATU) sebagai calon tunggal untuk jadi PM (Perdana Menteri), ada kamu hormat ketetapan parti-parti rakan (PN)? Umum pulak di depan batang hidung kawan.
“Dalam majlis yang kamu jemput kawan datang jadi tetamu. Waktu itu ada kamu hormat kawan? Masa orang parti kamu sign SD di Perlis baru-baru ni, menjatuhkan MB dari parti rakan, mengkhianati kawan, ada kamu hormati pendirian dan ketetapan parti rakan?
“Kena kat kawan tak apa, tak perlu hormat. Bila kena kat diri sendiri, baru desak supaya kawan hormat diri kita. Betulkah begitu? Brother. Kalau nak minta kawan beri hormat, kenalah hormat juga kawan. Simple,” kata Afnan. – HARAKAHDAILY 11/1/2026











