Konspirasi pakatan jatuhkan saing politik di Melaka

- Advertisement -

​KOTA MELAKA: Isu tuduhan wujudnya ‘pakatan jahat’ terhadap mantan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad memasuki episod baharu apabila seorang lelaki yang dikenali sebagai ‘Mansor Bai’ tampil menyerah diri kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

- Advertisement -

​Lelaki terbabit hadir ke Pejabat SPRM Melaka di Taman Alai Perdana, di sini, petang semalam dan membuat pengakuan menerima rasuah berjumlah RM100,000 berkait dakwaan konspirasi tersebut.

​Beliau turut menyatakan kesediaannya untuk menerima sebarang tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa susulan pengakuan tersebut.

​Perkembangan mutakhir ini dilihat mempunyai kaitan dengan isu yang pernah dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub pada April lalu.

​Terdahulu, Mohd Yadzil menggesa Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusof supaya segera membersihkan namanya susulan penyebaran satu video kontroversi yang didakwa mengaitkan beliau dengan perancangan penahanan bekas pemimpin negara itu.

​Video berdurasi 3 minit 57 saat yang tular di media sosial itu mengandungi klip audio perbualan telefon yang menyebut nama individu bernama ‘Bai’ dan arahan supaya ‘Abang Mansor’ kekal konsisten dengan kenyataan yang dirancang.

​Dalam rakaman tersebut, turut kedengaran suara individu yang dipanggil ‘bos’, yang didakwa mirip suara pemimpin tertinggi kerajaan negeri itu, memberikan arahan berkaitan laporan polis dan penyerahannya kepada seorang peguam.

​Mohd Yadzil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban menegaskan bahawa perkara ini adalah serius dan memalukan sekiranya benar ia melibatkan campur tangan politik dalam institusi penguatkuasaan.

​“Rakyat berhak mengetahui kebenaran. Jika benar beliau (Ketua Menteri) tidak terlibat, maka siasatan ini juga akan membantu membersihkan nama beliau daripada fitnah.

​“Laporan polis penting agar siasatan forensik dapat dijalankan bagi menentukan kesahihan rakaman, mengenal pasti suara individu terbabit, dan membawa semua yang terlibat ke muka pengadilan,” tegasnya dalam kenyataan sebelum ini.

​Beliau turut menuntut agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SPRM menyiasat isu ini secara telus dan bebas tanpa sebarang kompromi. – HARAKAHDAILY 9/1/2026

- Advertisement -