Zahid pakai duit Zahid, bukan rasuah?

Yusfarizal Yussoff
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengamal undang-undang, Yusfarizal Yussoff menegaskan bahawa dakwaan menegaskan pertuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hanyalah berkaitan penggunaan wang sendiri melalui Yayasan Akalbudi adalah tidak tepat dan mengelirukan.

- Advertisement -

Menurut beliau, terdapat pandangan yang menyifatkan kes berkenaan sebagai ‘pertuduhan politik’ dengan alasan tiada unsur rasuah sekiranya Zahid menggunakan wangnya sendiri melalui yayasan terbabit.

Bagaimanapun, katanya, penelitian terhadap butiran pertuduhan mendapati sebahagian daripada 47 pertuduhan yang dikenakan melibatkan dakwaan penerimaan suapan daripada sebuah syarikat.

“Antara pertuduhan yang dibuat ke atas Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah menerima suapan daripada syarikat Mastoro Kenny IT Consultant & Services melalui satu cek bernilai RM250,000, 13 cek bernilai RM8 juta dan 10 cek bernilai RM5 juta melalui tiga syarikat lain,” katanya dalam media sosial miliknya.

Beliau berkata, cek-cek berkenaan dikatakan diterima sebagai dorongan kepada Zahid selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat Mastoro memperoleh projek-projek MYEG Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Yusfarizal turut merujuk keterangan saksi pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam perbicaraan kes berkenaan, yang menyatakan bahawa Mastoro dan sebuah lagi syarikat dikatakan tidak mempunyai perniagaan sebenar, beralamat di unit apartmen, namun menunjukkan aliran keluar masuk wang.

“Berdasarkan keterangan-keterangan itu, Hakim Collin memutuskan terdapat kes prima facie dan memerintahkan Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membela diri,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan adalah tidak wajar untuk memutarbelitkan fakta dengan menyatakan bahawa keseluruhan pertuduhan hanya berkaitan penggunaan wang sendiri melalui Yayasan Akalbudi, sedangkan terdapat pertuduhan yang jelas membabitkan suapan bagi mendapatkan projek.

Namun, Yusfarizal berkata, hasil siasatan semula SPRM mendapati Zahid kini telah dibersihkan sepenuhnya daripada semua pertuduhan berkenaan.

“Siasat macam mana, itu kita pun mungkin tidak akan tahu perinciannya. Yang pasti, tiada lagi bukti yang kukuh untuk kesemua 47 pertuduhan tersebut,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa perkara paling penting ketika ini ialah keyakinan rakyat terhadap sistem dan undang-undang negara. – HARAKAHDAILY 9/1/2026

- Advertisement -