Ada kronisme di MOT ke arah mendanai parti politik?

Banyak urusan diserah kepada syarikat tidak kompeten, diragui dan gagal

- Advertisement -

KEMENTERIAN Pengangkutan (MOT) hari ini menguasai antara portfolio paling besar dari sudut kewangan dan impak awam, merangkumi pengangkutan rel, keselamatan jalan raya, konsesi pemeriksaan kenderaan, tol, penerbangan awam serta pengurusan syarikat berkaitan kerajaan.

Dengan nilai kontrak dan komitmen fiskal yang dianggarkan melepasi RM100 bilion secara kumulatif, setiap keputusan kementerian ini sewajarnya dinilai melalui neraca ketelusan, kecekapan dan kepentingan rakyat.

Namun rentetan isu sejak beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan pola dasar yang gagal meyakinkan awam. Paling terkini, kontroversi pelantikan ejen Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang mula dipersoalkan secara terbuka sekitar 2024 memperlihatkan kegagalan asas justifikasi ekonomi.

Ir Ts Dr Nurul Islam Mohamed Yusoff, penganalisis dasar dan pemerhati industri automotif, menegaskan bahawa sistem dalaman JPJ telah berfungsi secara langsung selama puluhan tahun tanpa keperluan pihak ketiga.

- Advertisement -

Menurut analisis beliau, pengenalan ejen berpotensi menambah kos transaksi sekitar RM20 hingga RM50 bagi setiap urusan, satu beban yang akhirnya dipindahkan kepada bengkel kecil dan pengguna. Dalam ekonomi sektor awam, penambahan lapisan perantara tanpa peningkatan kecekapan yang jelas lazimnya ditafsir sebagai ketirisan terselindung.

Isu Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) pula mengukuhkan kebimbangan ini. Konsesi pemeriksaan kenderaan yang dipegang sejak 1994 merekodkan hasil ratusan juta ringgit setahun, seperti yang pernah disentuh dalam beberapa siri Laporan Ketua Audit Negara.

Walaupun kerajaan mengumumkan pembukaan pasaran kepada pemain baharu bermula 2023, pemerhati dasar mengingatkan bahawa tanpa kawal selia harga dan ketelusan pemilihan syarikat, liberalisasi ini berisiko menggantikan satu monopoli dengan monopoli baharu.

Kebimbangan sama timbul dalam pemberian hak pengeluaran plat kenderaan elektrik (EV) kepada satu entiti tertentu, sedangkan amalan pasaran terbuka menjadi norma di negara yang benar-benar mahu merangsang persaingan industri hijau.

Kelemahan tadbir urus paling ketara terserlah dalam sektor rel. Berdasarkan Laporan Tahunan Prasarana Malaysia Berhad, perbelanjaan operasi dan penyelenggaraan sistem rel bandar mencecah lebih RM3 bilion setahun. Namun, gangguan besar Laluan LRT Kelana Jaya pada November 2022 melumpuhkan operasi hampir sepenuhnya, menjejaskan lebih 400,000 penumpang sehari.

Ketika itu, beberapa penganalisis pengangkutan dan ekonomi bandar menganggarkan kerugian ekonomi harian — merangkumi produktiviti, kos pengangkutan alternatif dan masa perjalanan — mencecah puluhan juta ringgit sehari. Walaupun angka tepat tidak pernah diumumkan secara rasmi oleh kerajaan, ketiadaan penjelasan terperinci mengenai kerugian sebenar hanya menambah persepsi kelemahan akauntabiliti.

Aerotrain Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pula masih gagal beroperasi sepenuhnya walaupun projek penggantian bernilai sekitar RM456 juta diumumkan sejak 2021.

Dalam aspek keselamatan jalan raya, data Polis Diraja Malaysia dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menunjukkan kenderaan berat secara konsisten menyumbang antara 20 hingga 25 peratus kemalangan maut di lebuh raya utama.

Tahun demi tahun, tragedi melibatkan lori dan bas terus berulang, namun tindakan terhadap syarikat pengendali sering dilihat tidak setimpal dengan keseriusan kes. Keadaan ini menimbulkan persoalan awam mengapa penguatkuasaan lebih tegas tidak dilaksanakan terhadap syarikat besar, sedangkan pemandu individu sering menjadi kambing hitam.

Persepsi rakyat menjadi lebih sensitif apabila timbul tanggapan bahawa syarikat-syarikat ini dilindungi atas faktor kekuatan korporat atau hubungan politik, satu persepsi yang hanya boleh dipatahkan melalui pendakwaan telus dan pendedahan awam, bukan penafian umum.

Isu Tol Genting pula memperlihatkan kegagalan komunikasi dasar apabila kenaikan kos dan implikasi kepada pengguna tidak disertai penjelasan menyeluruh daripada kerajaan. Walaupun secara khusus di bawah tanggungjawab Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Kewangan (MOF), namun sikap berdiam MOT dilihat seakan di balik pihak berkepentingan.

Beberapa tokoh politik, termasuk bekas menteri kanan, secara terbuka mempersoalkan sikap berdiam diri kementerian, sekali gus mengukuhkan persepsi bahawa suara pengguna kurang diberi perhatian dalam proses membuat keputusan.

Kontroversi lebih besar tercetus apabila muncul isu penglibatan BlackRock dalam urusan strategik berkaitan syarikat penerbangan negara. Cadangan penstrukturan melibatkan Malaysia Airlines System (MAS) menimbulkan kebimbangan awam kerana BlackRock bukan sekadar pelabur biasa, tetapi pengurus aset global dengan pengaruh geopolitik dan kepentingan korporat rentas negara.

Walaupun kerajaan menegaskan tiada penjualan aset strategik, ketiadaan penjelasan terperinci mengenai struktur perjanjian, hak kawalan dan implikasi jangka panjang terhadap kedaulatan ekonomi telah mencetuskan persoalan besar, sejauh mana aset strategik negara wajar terdedah kepada pengaruh kewangan global tanpa perbahasan awam dan penelitian Parlimen yang mendalam?

Lonjakan kos projek LRT Mutiara Pulau Pinang pula terus menimbulkan kegusaran fiskal. Berdasarkan pengumuman rasmi, kos projek ini dianggarkan sekitar RM10 hingga RM13 bilion, menjadikannya antara projek rel termahal jika diukur dari sudut kos per kilometer.

Penganalisis infrastruktur mempersoalkan unjuran penumpang dan pulangan sosioekonomi projek tersebut, terutama ketika banyak negeri lain masih berdepan kekurangan peruntukan asas pengangkutan awam.

Dalam masa yang sama, projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) pula melalui proses kelulusan yang panjang dan berlapis, menimbulkan persoalan sama ada penilaian ekonomi nasional dilaksanakan secara konsisten atau selektif.

Apabila keseluruhan isu ini dirangkaikan, ia membentuk satu persoalan tadbir urus yang tidak boleh dielakkan, adakah keputusan strategik di bawah Kementerian Pengangkutan dibuat berasaskan kepentingan awam sepenuhnya, atau wujud pola yang memusatkan manfaat kepada entiti terhad sementara kos, risiko dan kegagalan operasi ditanggung rakyat?

Rencana ini tidak membuat tuduhan langsung berkaitan pendanaan politik atau kronisme, namun dalam konteks kontrak, konsesi dan pelaburan berbilion ringgit, tuntutan terhadap audit bebas, pendedahan konflik kepentingan serta pengawasan Parlimen yang tegas adalah keperluan demokrasi yang sah.

Akhirnya, reformasi tidak boleh diukur melalui slogan, penjenamaan semula atau pengumuman dasar semata-mata. Ia mesti dibuktikan melalui data prestasi, keselamatan rakyat, kecekapan perkhidmatan dan integriti pengurusan wang awam.

Selagi persoalan-persoalan asas ini tidak dijawab secara telus dan berfakta, selagi itulah MOT akan kekal berada dalam sorotan kritikal rakyat, kerana amanah negara bukan milik mana-mana parti, tetapi tanggungjawab bersama terhadap masa depan Malaysia.

IQMAN IBERAHIM – HARAKAHDAILY 28/12/2025

- Advertisement -