21 tahun tragedi tsunami Aceh: Mengubah lanskap politik dalam sendu kedukaan

- Advertisement -

ACEH adalah suatu nama besar dalam abad ke-16, kerajaan Islam Nusantara ini mempunyai hubungan khas dengan Khilafah Uthmaniah, berjasa besar pada Tanah Melayu dalam bidang pendidikan dan dakwah.

Pasca kejatuhan Melaka pada tahun 1511, Aceh menerima alat bantuan senjata untuk berperang dengan Portugis di Melaka. Serambi Makkah Nusantara ini menghadirkan ramai tokoh ulama serta para pejuang menentang kemaraan imperialis Belanda. Kerajaan Aceh juga sangat berjasa kepada Kedah, seperti menghantar kitab-kitab pengajian Islam seperti kitab Sirat Al Mustaqim dan Bab al-Nikah karangan Sheikh Nuruddin ar Raniri. Ulama besar Aceh seperti Sheikh Abdul Rauf as-Sinkili (Singkeh) adalah guru kepada ulama Tanah Melayu seperti Tok Pulau Manis di Terengganu dan Tok Budin atau Sheikh Syahibuddin dari Pahang.

Kampus awal di alam Nusantara ialah Masjid Baitur Rahman yang menjadi mercu tanda pendidikan tinggi Islam zaman dahulu sehingga santrinya bertebaran menebar ilmu kepada masyarakat di Nusantara. Ulama Aceh terlibat dengan usaha membantu pendidikan Islam di Perak, mereka membuka pondok-pondok di Tebing Pulai, Teluk Bakong, Teluk Sareh dan lain-lain.

Wilayah istimewa ini sarat dengan sejarah yang berliku. Aceh mengalami era konflik yang panjang pasca Indonesia merdeka, banyak isu politik dan ekonomi yang melingkarinya. Di antaranya, Gerakan Aceh Merdeka yang bertembung dengan Kerajaan Indonesia di mana gerakan ini ingin menuntut kemerdekaan daripada Jakarta sehingga konflik berdarah telah menewaskan ribuan nyawa manusia.

- Advertisement -

Penulis mengimbas kembali saat terlibat membantu mangsa terjahan tsunami 21 tahun lalu. Saat melihat dengan kesayuan pemandangan Aceh yang sebahagiannya seperti padang jarak padang tekukur dari tingkap helikopter Nuri milik TUDM dalam perjalanan dari Banda Aceh ke Meulaboh. Tsunami yang menghentam Wilayah Aceh telah menyebabkan jalan darat terputus seolah-olah banjir bandang bulan lepas yang menyebabkan Aceh Tamiang terputus jalan darat dengan Banda Aceh.

Persoalan yang muncul dalam benak penulis saat itu ialah mengenai aqidah mereka terutamanya selepas petaka tsunami. Kerajaan Indonesia ketika itu telah membuka pintu untuk bantuan luar bagi menyelamatkan mangsa-mangsa tsunami namun dengan pantas peluang diintai oleh NGO-NGO jaringan Kristian seluruh dunia. Gerakan swadaya bernuansa kebajikan ini bagai berpesta kebajikan, menebarkan keprihatinan terhadap mangsa tsunami terutamanya anak-anak yatim dan pengunsi-pengunsi yang sedang berselimut getir dengan trauma tsunami dan kejerihan hidup setelah semua yang dimiliki disentap dalam sekelip mata. Tidak menjadi rahsia lagi di kalangan petugas dan pekerja kemanusian gerakan Islam berebutan anak-anak yatim dengan gerakan Kristian yang datang dari dalam dan luar negeri.

Kondisi warga Aceh pra-tsunami 2004 amat berseberangan dengan sejarah emas nenek moyang mereka dalam abad kegemilangan. Jauh berpaling daripada agama sehingga maksiat serta kebejatan moral mengambil ruang utama. Dalam terjahan tsunami 21 tahun lampau, masjid-masjid tersergam indah, sedangkan binaan-binaan lain hancur menyembah bumi. Satu isyarat daripada Yang Maha Esa, agar warga Aceh kembali merengkuh kehidupan beragama. Aceh yang berpaling daripada sejarah leluhurnya, kemaksiatan skala besar pada hari Natal di Pantai Loknga Aceh mengundang kemurkaan Allah. Bukan sekadar pesta pora meraikan Natal namun perzinaan terbuka yang mengundang bencana dari langit!

Pengalaman penulis menjadi sukarelawan di Aceh 21 tahun lampau dengan misi utama membantu penempatan anak-anak yatim Aceh mengesahkan jawapan kepada penulis bahawa misionari Kristian telah mendapat ‘syurga’ baru bagi menjaring ‘ahli-ahli’ kerana sebelum ini serambi Makkah ini tertutup rapat bagi mereka. Taktik ini biasa mereka lakukan di benua Afrika serta Amerika Latin. Aceh Darussalam sejak zaman berzaman kental menjadi benteng akidah, bumi perlawanan dengan penjajah Belanda antara tahun 1873 sehingga 1904. Kekuatan aqidah inilah yang menyebabkan penjajah Belanda menghantar orientalis terkenal, Professor Dr Christian Snouck Hurgronje, pakar teologi dari kampus Leiden untuk mengakar kerancuan berfikir kepada masyarakat Aceh di zaman kolonial.

Masih segar dalam ingatan, semenjak dari KLIA kami berpapasan dengan NGO-NGO Kristian dan apabila tiba di lapangan terbang Medan pula bertembung dengan kumpulan-kumpulan Kristian dari Perancis dan Jerman yang turut terjun kelapangan untuk membantu.

Kehadiran mereka cukup terkesan di kawasan-kawasan pedalaman yang tidak mampu dijangkaui oleh petugas-petugas kebajikan Islam malah di beberapa tempat tertentu, petugas Islam seperti yang diceritakan oleh sahabat-sahabat PKS terpaksa ‘berkasar’ dengan kelompok ini yang kelihatan cukup agresif menyantuni anak-anak yatim dan gelandangan yang serba kepayahan. Modal mereka besar sehingga mampu menyewa helikopter swasta untuk berulang alik ke pelbagai lokasi. Membawa relawan-relawan bertopengkan tugas ketuhanan dalam kondisi bencana yang dahsyat.

Pengalamanku di pelbagai medan operasional kerja bantuan kemanusiaan mengesahkan kelompok misionari ini sangat komited menebarkan pengaruh, dana serba lumayan malah jaringan politik mereka juga agak luas.

Terjahan ombak besar tsunami pada 26 Disember 21 tahun lepas telah memberikan kesan yang besar kepada Aceh dan Sumatera Utara berbanding dengan wilayah yang lain. Dianggarkan korban seramai 240,000 orang manakala ratusan ribu yang lain kehilangan tempat tinggal dan mata pencarian. Tragedi ini juga telah menyebabkan lebih 35,000 orang kanak-kanak menjadi yatim dan  mendiami khemah-khemah pengunsian dan juga di panti anak-anak yatim. Isu anak yatim ini menarik pelbagai NGO untuk turun ke medan lapangan, jumlah angka yang besar ini seolah tsunami satu peperangan memenangi lubuk hati.

Isu ini dengan pantas ditanggapi oleh pelbagai gerakan Islam di Indonesia seperti Partai Keadilan Sejahtera, Majlis Ulama Indonesia, Majlis Mujahiddin Indonesia dan sebagainya, malah Presiden Indonesia saat itu, Susilo Bambang Yudhyono telah memberikan amaran bahawa tidak sesiapapun orang perseorangan ataupun organisasi yang boleh membawa keluar anak-anak yatim Aceh keluar dari Indonesia. Indonesia menjadi suluhan lensa masyarakat antarabangsa, mereka wajib bertegas menjaga maruah dan harkat bangsa.

Kebimbangan mengenai nasib aqidah anak yatim telah dipaparkan dengan meluas oleh media massa bernuansa Islam di Indonesia dan juga menjadi produk pertuturan masyarakat dari anjung masjid sehinggalah ke gerai-gerai makan. Kebimbangan umat Islam mempunyai asas kerana pertubuhan-pertubuhan Kristian yang memakai jenama pertubuhan kemanusiaan seperti Yayasan Pelita Kasih, Yayasan Obor Bakti, Yayasan Berkat Indonesia, Global Relief, USAid, World Vision dan pelbagai nama lagi begitu agresif menyantuni anak-anak yatim dan gelandangan.

Gelojak kebimbangan ini turut dirasai oleh umat Islam di negara ini yang mempunyai ikatan persaudaraan Islam dan rumpun bangsa yang sama. Maka program Unit Muslim Care di bawah Lujnah Kebajikan DPPP, misi menyelamatkan anak-anak yatim Aceh telah digerakkan dengan bersungguh-sungguh di bawah payung Yayasan Amal Malaysia. Kutipan dana telah digerakkan secara besar-besaran di Lembah Klang dengan matlamat utama untuk membina bangunan kekal di Banda Aceh dan Meulaboh. Setelah dana yang dianggarkan wajar untuk membina sebuah bangunan tetap, mesyuarat koordinasi telah dilaksanakan di Kuala Lumpur dengan wakil PKS Indonesia iaitu Ustaz Khairul Rahimi (PKS dan Yayasan Amal Malaysia bernaung di bawah Komiti Kemanusiaan Indonesia).

Pulang daripada misi bantuan Aceh 2005, dengan sejuta pengalaman baru, menghirup nikmat membantu yang jerih serta membina jaringan baru maka kami merasakan unit Muslim Care di bawah Lujnah Kebajikan DPPP wajib diangkat menjadi sebuah gerakan swadaya yang lebih terarah fokusnya. Banyak gerakan swadaya Muslim antarabangsa yang setanding dengan badan kebajikan Kristian. Di pelbagai belahan dunia, terdapat NGO-NGO Islam seperti Muslim Aid, Islamic Relief, Hasana Foundation, IHH, al-Khidmat Foundation, PIMA dan puluhan nama besar yang lain.

Aceh selepas 21 tahun ini  juga telah berubah dengan drastik. Fajar mulai menyingsing apabila Perjanjian Helsinki telah diadakan untuk menamatkan perang saudara antara GAM dan Jakarta, Aceh perlu dibangunkan dengan adil serta mendapat keadilan daripada pemerintah Indonesia. Luka serta parut warga Aceh sangat dalam, sebab itulah seminggu dua ini apabila wilayah istimewa ini terasa dikucilkan oleh Jakarta serta kebijakan politik Prabowo yang dipertikaikan, maka sebahagian warga mengusung kembali bendera GAM. Aceh berusaha melaksanakan pemerkasaan syariah di wilayah Istimewa ini, polisi mencegah pintu mudarat serta kemungkaran dilaksanakan. Aceh mengangkat darjat sejarahnya dengan tsunami jihad pendidikan yang menyaksikan banyak pusat pengajian Islam tumbuh seperti cendawan selepas hujan.

Benarlah, Allah menguji manusia bak tapisan halus serta melonjakkan iltizam untuk berubah, kembali bertuhan dan mengembalikan semula Aceh Darussalam yang pernah gemilang pada abad ke-16 Masihi sebagai rakan strategik Khilafah Uthmaniah. Aceh juga pasca tsunami menjadi tarikan  baru pelancongan di negara bekas tanah jajahan Belanda itu. Antara lokasi yang memicu pesona pelancong ialah Pulau Sabang menjadi perhatian industri pelancongan. Wilayah istimewa ini sangat berpotensi untuk dimajukan dengan lima juta jiwa penduduknya. Jakarta wajib memberikan layanan yang adil kepada Aceh terutama pasca banjir bandang bulan November lepas. Dua dekad berdamai pasca tsunami 2004, kini Aceh diuji lagi.

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 28/12/2025

Gambar kenangan misi pertama tsunami Aceh Desember 2004 yang masih tersimpan:

- Advertisement -