Pemuda akan hadap cubaan ganggu gugat kerajaan

- Advertisement -

KANGAR: Pemuda PAS menyeru semua pihak agar memainkan peranan bersama dalam memelihara kestabilan Kerajaan Negeri Perlis serta memberi amaran keras kepada mana-mana individu atau kumpulan yang cuba mengganggu gugat pentadbiran negeri demi kepentingan tertentu.

- Advertisement -

Ketua Pemudanya, Haziq Asyraf Dun berkata, pihaknya sedia maklum berhubung isu sedang berlegar di media sosial sejak kebelakangan ini dan menegaskan bahawa sebarang cubaan mencetuskan ketidaktentuan politik bukan sahaja merugikan rakyat, malah hanya menguntungkan musuh yang sentiasa menunggu peluang.

Menurut beliau, rakyat Negeri Perlis telah memberikan mandat yang jelas kepada Perikatan Nasional untuk mentadbir Kerajaan Negeri, justeru keutamaan hendaklah sentiasa diberikan kepada kebajikan rakyat serta pembangunan negeri.

“Bukannya kepentingan peribadi atau kelompok tertentu yang boleh membawa mudarat kepada kestabilan politik dan pentadbiran.

“Pemuda PAS Perlis ingin memberi amaran keras kepada mana-mana individu atau pihak yang cuba mengganggu gugat kestabilan Kerajaan Negeri Perlis demi kepentingan peribadi atau kumpulan tertentu,” tegasnya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri itu menegaskan, Pemuda PAS Perlis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang didapati cuba mencetuskan ketidaktentuan politik dan mengancam kestabilan kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Pemuda PAS Negeri menzahirkan komitmen berterusan untuk mempertahankan kestabilan Kerajaan Negeri Perlis bagi memastikan agenda kebajikan rakyat, pembangunan negeri dan kesejahteraan masyarakat dapat dilaksanakan dengan sebaiknya. – HARAKAHDAILY 24/12/2025

- Advertisement -