
KUBANG PASU: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP), Dato’ Ahmad Saad @ Yahaya berjaya membentangkan tesis Sarjana beliau bertajuk “Peranan Pertubuhan Muafakat Pondok Se-Malaysia (PMPS) Dalam Pembangunan Pendidikan Di Bawah Kerajaan Negeri Kedah Tahun 2020-2023”.
Sesi ‘viva-voce’ ini berlangsung di Ghazali Shafie Graduate School of Government (GSGSG), Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, di sini semalam dengan dipengerusikan oleh Prof Madya Dr Bakri Mat dan diperiksa.
Tesis ini disediakan dengan seliaan Prof Madya Dr Aminurraasyid Yatiban dan Dr Mohd Shukri Shuib serta diperiksa oleh Dr Kamarul Zaman Yusoff dari UUM dan Prof Dr Mohd Roslan Mohd Noor dari Universiti Malaya (UM).
Kedua-dua pemeriksa luaran dan dalaman secara kolektif mengesahkan bahawa kajian ini memenuhi standard pengajian sarjana serta wajar dijadikan rujukan dalam kajian berkaitan tadbir urus institusi agama dan pembangunan pendidikan Islam di Malaysia.
Tesis ini mengemukakan satu analisis yang signifikan mengenai kebangkitan dan pemerkasaan institusi pondok melalui PMPS dalam konteks pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah di bawah Perikatan Nasional bagi tempoh 2020 hingga 2023.
Kajian ini berjaya mengisi jurang penting dalam literatur sains politik dan dasar awam yang kurang memberi tumpuan kepada peranan institusi pendidikan Islam tradisional sebagai aktor bukan negara yang berpengaruh dalam pembentukan dasar pendidikan.
Dari sudut konseptual, tesis ini menampilkan kekuatan tersendiri dengan menggabungkan pendekatan sejarah, politik dan pendidikan Islam bagi menjelaskan evolusi institusi pondok di Kedah serta kedudukan ulama sebagai aktor sosial-politik sejak era pra-kemerdekaan.
Penekanan terhadap kesinambungan sejarah ini membolehkan pengkaji meletakkan PMPS bukan sebagai entiti baharu yang terpisah, tetapi sebagai manifestasi kontemporari kepada tradisi keterlibatan ulama dalam pemerintahan dan pembangunan masyarakat.
Dari segi metodologi, penggunaan reka bentuk kajian kualitatif dengan temu bual mendalam bersama beberapa tokoh utama seperti mantan Pengerusi PMPS, Tuan Guru Ahmad Marzuki Mat Yusuf dan mantan Pengerusi Yayasan Islam Negeri Kedah (YINK), Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi.
Juga mantan Ahli Exco Kerajaan Negeri Kedah, Brid Jen (B) Dato’ Najmi Ahmad dan Mufti Negeri Kedah, Dato’ Paduka Syeikh Fadzil Awang, merupakan satu kekuatan utama kajian ini.
Data primer yang diperoleh membolehkan analisis yang bersifat ‘insider perspective’, khususnya dalam menelusuri proses bagaimana suara pondok diterjemahkan ke dalam dasar seperti Cordoba of Kedah (CoK) serta mekanisme mendapatkan peruntukan kewangan.
Secara keseluruhannya, tesis ini merupakan satu sumbangan akademik yang bernilai dan tepat pada masanya, khususnya dalam memahami peranan institusi pendidikan Islam tradisional dalam landskap politik dan dasar pendidikan negeri.
Dapatan tesis ini memperlihatkan satu sumbangan empirikal yang kukuh dan bermakna dalam memahami peranan PMPS sebagai aktor perantara berkesan antara institusi pondok dan Kerajaan Negeri Kedah sepanjang tempoh 2020 hingga 2023.
Dapatan kajian menunjukkan bahawa PMPS bukan sekadar berfungsi sebagai badan penyelaras atau representasi simbolik ulama pondok, sebaliknya telah berjaya memainkan peranan substantif dalam proses penggubalan dasar, pelaksanaan program pendidikan serta penyaluran sumber kewangan kepada institusi pendidikan Islam tradisional.
Melalui penglibatan langsung ulama pondok dalam jawatankuasa rasmi, sesi dialog polisi dan mekanisme rundingan berstruktur, PMPS telah memperkukuh kedudukan institusi pondok sebagai sebahagian daripada ekosistem pendidikan negeri yang sah dan diiktiraf.
Dapatan kajian ini turut memperlihatkan impak sosial dan komuniti yang positif hasil keterlibatan PMPS, khususnya dalam aspek pemerkasaan pendidikan berasaskan nilai, pembangunan modal insan Islam dan pengukuhan hubungan antara ulama, masyarakat dan kerajaan negeri.
Kajian ini berjaya menunjukkan bahawa pendekatan kolaboratif antara kerajaan negeri dan institusi agama, apabila diurus secara tersusun dan inklusif, mampu menyumbang kepada kestabilan sosial serta memperkukuh legitimasi dasar pendidikan di peringkat akar umbi.
Tesis ini telah dinilai dan diputuskan lulus dengan pembetulan minor, mencerminkan mutu akademik yang memuaskan serta sumbangan ilmiah yang jelas dalam bidang sains politik, dasar awam dan pendidikan Islam.
Kejayaan ini lebih bermakna memandangkan pengkaji merupakan seorang tokoh politik aktif, sekali gus membuktikan keupayaan beliau mengimbangi pengalaman praktikal kepimpinan dengan keperluan analisis akademik yang sistematik dan berwibawa.
Datuk Ahmad yang hadir bersama isteri, Rafida Ramli dan anak, Mohd Zunnur, serta tiga pegawai beliau, Muhammad Ehsan Shaari, Mohd Hafiz Mansor dan Zarqani Mat Ayub, ketika ditemui mengucapkan kesyukuran di atas kerjasama yang diberikan oleh UUM.
”Saya berterima kasih khasnya kepada pihak UUM kerana memberi ruang kepada ahli-ahli politik seperti saya untuk memperdalamkan lagi ilmu pengetahuan di mana kajian begini penting untuk kebaikan negeri dan negara.
”PMPS adalah satu institusi bersifat nasional, kajian sarjana saya lebih fokus kepada Kedah, insha Allah selepas ini saya akan teruskan dengan mengkaji peranan dan keberkesanan sumbangan PMPS di seluruh negara pada peringkat PhD pula.
”Melalui kajian ini saya mengemukakan beberapa cadangan bagi memperkukuhkan institusi pondok di Kedah seperti penggubalan kerangka perundangan tadbir urus pondok, penubuhan pusat latihan guru pondok, pewujudan dana wakaf pendidikan, transformasi digital institusi pondok serta pembangunan Indeks Pencapaian Komuniti Pondok (CPI-Pondok).
”Kesemua cadangan ini jika mampu dilaksanakan merupakan langkah-langkah strategik yang berpotensi meningkatkan keberkesanan, ketelusan dan kelestarian institusi pondok dalam jangka panjang,” katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah dan Ahli Parlimen Pokok Sena.
Cadangan-cadangan ini tidak syak lagi mencerminkan keupayaan pengkaji untuk berfikir secara aplikatif dan berpandangan jauh, selari dengan keperluan dasar awam dan realiti pengurusan pendidikan Islam di peringkat negeri dan nasional. – HARAKAHDAILY 24/12/2025












