Pengampunan kuasa mutlak YDPA, luar bidang kuasa semakan kehakiman

- Advertisement -

PERIKATAN Nasional telah melantik peguam bagi mengikuti prosiding kes Titah Addendum sebagai peguam pemerhati (watching brief) kerana prihatin dengan kesan prosiding di Mahkamah Tinggi yang membabitkan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu membabitkan hal kuasa memberi pengampunan, sebagaimana yang diperuntukkan secara jelas di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Perikatan Nasional berpandangan urusan pengampunan adalah kuasa prerogatif tertinggi Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu yang wajib dihormati. Perikatan Nasional tidak mahu Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu dilihat sebagai ‘rubber stamp’ semata-mata. Walhal kuasa Baginda telah dinyatakan secara jelas dalam Laporan Suruhanjaya Reid demi memelihara kuasa dan prestij Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu sepertimana yang telah diterjemahkan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes pengampunan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Hakim Negara dalam kes tersebut memutuskan bahawa kuasa pengampunan merupakan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong yang bersifat ‘non-justiciable’, sekali gus meletakkannya di luar bidang kuasa semakan kehakiman.

Perikatan Nasional berpandangan bahawa kemelut Perlembagaan dan kekeliruan undang-undang yang berlaku hari ini adalah berpunca daripada kegagalan Kerajaan Madani sendiri dalam menangani isu kewujudan Titah Addendum sejak awal lagi.

Sehubungan itu, Perikatan Nasional menggesa kerajaan mengkaji semula perkara-perkara dalam Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan kuasa prerogatif pengampunan bagi memastikan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu serta struktur asas Perlembagaan kekal, jelas dan terpelihara.

- Advertisement -

DATO’ SERI HAMZAH ZAINUDIN
Ketua Pembangkang
Kuala Lumpur, 23 Disember 2025 – HARAKAHDAILY 23/12/2025

- Advertisement -