
KUALA LUMPUR: Semangat penyatuan ummah yang terjalin antara PAS dan Umno dibawah Piagam Muafakat Nasional tidak pernah luntur biarpun idealogi politik antara kedua-dua parti itu berbeza, kata Naib Presiden PAS.
Datuk Idris Ahmad berkata, usaha itu merupakan strategi kelangsungan dan kestabilan agenda Melayu dan Islam, malah ia bukan sekadar hiasan dalam ucapan mahupun ceramah.
Tanpa penyatuan sebenar kata beliau, aspirasi politik Melayu dan Islam menjadi tidak bermaya selain mudah dimanipulasi oleh pihak yang berkepentingan dan seterusnya merugikan rakyat terutamanya orang Melayu.
“Penyatuan ummah merupakan keperluan politik bukan retorik, ummah tidak akan hancur kerana perbezaan parti, ummah juga menjadi lemah kerana terlalu lama dipisahkan oleh kepentingan sempit dan ego dalam politik.
“Sejarah negara ini jelas, apabila Umno dan PAS memilih untuk bersatu (dibawah Piagam Muafakat Nasional), agama Islam dimartabatkan, orang Melayu diperkasakan dan kestabilan negara dapat dipertahankan,” katanya.
Kenyataan Ahli Parlimen Bagan Serai dilihat mengulas mengenai dasar kerajaan yang dianggap merugikan Melayu di mana sering dikaitkan persepsi ketidakseimbangan demi mengejar naratif kesamarataan dan kecekapan ekonomi.
Ia dihangatkan lagi dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan semakan kehakiman Dato’ Sri Najib Tun Razak bagi menjalani tahanan di rumah susukan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Idris yang juga Pesuruhjaya PAS Perak menjelaskan agenda penyatuan ummah bukan bermakna mengadai prinsip atau menghapuskan perbezaan, namun meletakkan kepentingan ummah lebih tinggi berbanding manfaat kepada parti.
“Penyatuan ummah ini bukan bermaksud menghapuskan prinsip atau menelan semua perbezaan, tetapi meletakkan kepentingan ummah mengatasi kepentingan parti, duduk bersama dan urus perbezaan secara matang dan bijaksana.
“Soalnya bukan siapa paling dominan, tetapi siapa yang sanggup berkorban demi masa depan ummah, penyatuan ummah ada keperluan politik yang yang mendesak, bukan slogan kosong,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 23/12/2025











