Tragedi banjir bandang Aceh mengulangi duka tsunami Aceh 2004

- Advertisement -

21 TAHUN yang berdesut laju, masa bergulir pantas dengan seribu peristiwa mulai menimbuni satu persatu mozaik kenangan pahit manis kehidupan.

Dalam euphoria hari Natal yang bakal menjelang, Acheh sekali lagi menjadi sorotan lensa seluruh dunia dengan tragedi yang menewaskan ribuan nyawa manusia. Visual mayat-mayat yang membusuk dan membusung terpencar di pelbagai lokasi tanah rencong itu serta keadaan wilayah Aceh yang berantakan.

Lebih dua dekad lalu, untaian rangkaian berita antarabangsa dengan pantas melaporkan tragedi paling dahsyat di awal milenea baru. Dengan pantas, relawan-relawan sedunia daripada pelbagai NGO berkejaran ke Indonesia. Kerajaan Indonesia membuka pintu negara kepada tentera luar dan NGO luar negara untuk membantu mangsa-mangsa tsunami yang telah diisytiharkan sebagai bencana nasional.

- Advertisement -

Namun, banjir bandang Aceh kali ini berbeda walaupun meratah ribuan nyawa sehinggakan rakyat mengibar bendera putih manifestasi mereka telah lelah berdepan dengan ujian besar ini. Indonesia yang dipimpin oleh Prabowo Subianto menutup ruang bantuan asing termasuk NGO-NGO antarabangsa untuk datang membantu Aceh. Ironinya, pengalaman penulis di lapangan, lahan Aceh tidak ubah seperti tragedi tsunami 2004 dahulu, malah ada tempat yang lebih teruk dengan timbunan kayu kayan, malah bangkai gajah yang bergelimpangan!

Acheh adalah nama besar dalam abad ke-16, kerajaan Islam Nusantara ini mempunyai hubungan khas dengan Khilafah Uthmaniah, malah menerima alat bantuan senjata untuk berperang dengan Portugis di Melaka. Serambi Makkah Nusantara ini menghadirkan ramai tokoh ulama serta para pejuang menentang kemaraan imperialis Belanda. Masjid Baitur Rahman menjadi mercu tanda pendidikan tinggi Islam zaman dahulu sehingga santrinya bertebaran menebar ilmu kepada masyarakat di seluruh Nusantara. Ini termasuklah dengan membuka pondok-pondok pengajian Islam di negeri Perak serta Pulau Pinang.

Aceh mengalami era konflik yang panjang pasca Indonesia merdeka dengan timbunan isu politik dan ekonomi yang melingkari wilayah istimewa ini.

Mengimbasi kembali saat terlibat membantu mangsa terjahan tsunami 21 tahun lampau, Gerakan Aceh Merdeka masih berjuang untuk membebaskan Aceh daripada Kesatuan Indonesia. Saat itu, penulis melihat dengan kesayuan pemandangan Aceh yang sebahagiannya seperti padang jarak padang tekukur dari helikopter Nuri milik TUDM dalam perjalanan dari Banda Aceh ke Meulaboh yang terputus jalan darat. Suasana ini juga berlaku pasca banjir bandang yang juga digelar ‘tsunami darat’ dengan terjahan air besar dari gunung ganang yang mengheret arus deras dengan segala maknika kayu kayan, selut lumpur yang menenggelamkan rumah kediaman serta premis awam yang lain.

Terjahan ombak besar tsunami pada 26 Disember 2004 telah meninggalkan kesan yang amat besar kepada Aceh dan Sumatera Utara berbanding dengan wilayah-wilayah yang lain. Dianggarkan korban seramai 240,000 orang manakala ratusan ribu yang lain kehilangan tempat tinggal dan mata pencarian. Tragedi ini juga telah menyebabkan lebih 35,000 orang kanak-kanak menjadi yatim dan mendiami khemah-khemah pengungsian.

Tsunami darat Aceh 2025 pula telah membadai dengan dahsyat Aceh Tamiang, Pidie Jaya, Daerah Biruen dan lain-lain daerah di Sumatera Barat serta Sumatera Timur. Akses ke Aceh Tamiang dari Banda Aceh terputus dan ini sangat menyukarkan bantuan tiba sehingga ada mangsa beberapa hari tidak menjamah makan.

Jika tsunami Aceh 21 tahun dahulu berbondong-bondongan gerakan masyarakat sivil memasuki Aceh untuk membantu seperti Muslim Aid, Islamic Relief, IHH, Hasanet Foundation Global Relief, USAid, World Vision dan pelbagai nama lagi begitu agresif menyantuni anak-anak yatim dan mangsa-mangsa di lapangan, kali ini relawan antarabangsa hanya mampu membekap dada membaca ketidakmatangan pemerintah Indonesia termasuk isu seperti memulangkan kembali 30 tan beras sumbangan dari negara UAE kepada mangsa banjir bandang Aceh.

Gelojak kebimbangan ini turut dirasai oleh umat Islam di negara Malaysia yang mempunyai ikatan persaudaraan Islam juga saudara serumpun yang akrab. Pelbagai NGO menggalang bantuan derma kemanusiaan untuk wilayah istimewa ini. PAS Pusat melalui koordinasi PASRelief telah menjalankan usaha membantu musibah ini. Bantuan banjir kali kedua dikepalai Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta rombongan yang membawa sumbangan berjumlah RM90,000. Menurut Pengarah PASRelief, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah yang juga ADUN Penaga, rombongan pertama bantuan banjir bandang yang dipimpin oleh Ustaz Ahmad Rashdan (Setiausaha PASRelief) telah tiba awal membawa sumbangan ke Padang, Sumatera Barat dua minggu lepas.

Seramai 17 orang relawan termasuk Ustazah Salamiah, Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat dan Ustaz Sallehen Mukhyi, ADUN Sabak, telah turun ke lapangan dengan bantuan koordinasi daripada aktivis Partai Keadilan Sejahtera (PKS) Wilayah Aceh. Rombongan PAS juga telah mengambil peluang mengadakan pertemuan dengan anggota legislatif PKS, termasuk Bapak Gufron beserta penggerak utama PKS yang lain.

Pembelian barangan keperluan daripada sumbangan awam rakyat Malaysia telah dibuat di Banda Aceh. Hari berikutnya, kami bergerak ke kawasan Pidie Jaya yang terjejas teruk dengan menempuh empat jam perjalanan. Kawasan perdesaan dipenuhi kayu kayan yang hanyut semasa banjir bandang serta kemusnahan prasarana.

Guratan wajah-wajah pucat warga desa menyambut kami, namun tersenyum bahagia apabila mengetahui relawan-relawan ini telah datang sejauh Malaysia untuk menghulurkan bantuan. Kawasan perdesaan Meurudu  Pidie Jaya dibantu dengan sumbangan rakyat Malaysia dengan 1,700 orang mangsa. Sebahagian besar penduduk kampung ini adalah di bawah tahap kemiskinan.

Rombongan relawan juga telah mengadakan jamuan rakyat usai solat Jumaat di Masjid Tuha. Seekor lembu telah disembelih untuk dimasak secara bergotong royong oleh penduduk.

Menginsafi keperluan mendesak penduduk terhadap wang tunai maka rombongan PASRelief juga telah mengagihkan sumbangan tunai kepada 400 buah keluarga di Kampung Dayah, Kruet. Ketua rombongan, Datuk Seri Takiyuddin Hassan telah memberikan suntikan motivasi kepada mangsa banjir. Mengusap kembali semangat untuk terus reda dengan ketentuan Ilahi, memaknai erti sebanjaran ujian yang pastinya Allah SWT menaikkan darjat kepada insan yang menyerap ujian dengan kesabaran. Di meunasah itu juga kelihatan mangsa yang keuzuran sakit diberikan ruang khas untuk berehat. Warga tua desa itu dengan senyuman sibuk bercerita tentang hubungan masa lalu mereka dengan Malaysia. Ada yang tika saat muda berenergi, menguras tenaga membanting tulang di ladang-ladang kelapa sawit, bekerja sebagai buruh kontrak atau menjual kemahiran diri untuk membawa pulang wang untuk membina kehidupan baru di lahan Aceh.

Dunia Islam wajib membuat desakan agar Presiden Prabowo membuka pintu untuk bantuan kemanusiaan dengan kadar segera. Redamkan egois yang membusung agar segalanya lancar di lapangan kerana di zaman langit terbuka ini, segala pekung mana mungkin mampu ditutup dengan tudung saji.

Warga Aceh, Sumatera Barat serta Sumatera Timur sangat terkesan oleh banjir bandang. Kami tidak mahu campur dalam urusan politik Indonesia namun kejerihan saudara akidah kami sangat merobek perasaan. Jika 21 tahun lampau, ada ratusan pesawat udara terutama helikopter tentera pelbagai negara atas nama bantuan kemanusiaan, namun saat penulis tiba di bandar Banda Aceh minggu ini, hanya dua buah helikopter kelihatan menunggu lesu di pelataran terbang.

Benarlah, Allah menguji manusia bak tapisan halus serta melonjakkan iltizam untuk berubah, kembali bertuhan dan mengembalikan semula Aceh Darus Salam yang pernah gemilang pada abad ke-16 Masihi sebagai rakan strategik Khilafah Uthmaniah yang juga serambi ilmu Islam di Nusantara.

Ayuh semua, bantulah dan pedulilah pada nasib Aceh, Sumatera Barat serta Sumatera Timur, teman-teman seakidah kita!

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 21/12/2025


- Advertisement -