
TINDAKAN sebuah pusat beli-belah ternama di ibu negara mempromosikan premis mereka sebagai ‘Mesra Haiwan’ (Pet-Friendly) baru-baru ini mencetuskan polemik hangat dalam kalangan masyarakat, khususnya umat Islam yang merupakan populasi majoriti di negara ini.
Terdahulu, tular di media sosial foto memaparkan seekor anjing dibawa menggunakan troli khas di dalam kawasan Sunway Square Mall, termasuk di hadapan panggung wayang.
Situasi ini bukan sahaja mengejutkan, malah dilihat sebagai satu bentuk normalisasi budaya luar yang jelas tidak menghormati sensitiviti masyarakat tempatan.
Dahulu, membawa haiwan masuk ke dalam pasar raya (mall) dianggap pelik, tidak sesuai, dan jelas melanggar adab kesantunan awam, namun hari ini, atas nama ‘trend moden’, ia cuba dinormalisasikan secara agresif.
Nampaknya ada pihak yang begitu teruja mahu mengubah fungsi pusat beli-belah menjadi ‘taman tema haiwan peliharaan’. Persoalannya, adakah masyarakat Islam pula yang kini dipaksa untuk ‘menyesuaikan diri’ dengan idea baharu ini?
Konon progresif, tapi tidak mesra pengunjung
Atas nama kemajuan dan mahu kelihatan ‘inklusif’, premis-premis perniagaan ini seolah-olah buta terhadap keresahan pelanggan majoriti. Apabila disentuh soal sensitiviti umat Islam, naratif yang sering dimainkan adalah ‘biasalah, dunia dah berubah’.
Namun, bagaimana dengan isu kebersihan? Bulu haiwan yang berterbangan, najis yang sukar dikawal, serta risiko sentuhan dengan najis mughallazah di ruang awam bukan isu remeh.
Ia melibatkan soal hukum, kesucian ibadah dan keselesaan pengunjung yang membawa keluarga dan anak kecil. Adakah semua ini dianggap isu kecil semata-mata demi mengejar pengiktirafan ‘standard antarabangsa’?
Apa yang lebih menjengkelkan, normalisasi ini bukanlah datang daripada desakan majoriti rakyat Malaysia, ia didorong oleh segelintir pihak yang mahu menjadikan pusat beli-belah sebagai pentas peragaan (runway) haiwan peliharaan mereka.
Apabila trend ini ditentang kerana bertentangan dengan nilai masyarakat, alasan klise mula digunakan, “Kita kena terbuka”,
“Malaysia kena ikut arus”.
Arus apa yang dimaksudkan? Adakah arus yang menenggelamkan adab, budaya timur, dan sensitiviti agama majoriti penduduk negara ini? Umat Islam tidak pernah menolak haiwan. Islam adalah agama yang menyantuni makhluk dan mengajar belas kasihan.
Namun, apa yang ditolak ialah pemaksaan dasar yang mengganggu kesucian dan keselesaan ruang awam. Pasar raya adalah ruang komuniti dan keluarga, bukan medan eksperimen sosial untuk membuktikan siapa paling ‘urban’.
Pandangan sudut kesihatan awam
Menyentuh isu ini dari sudut pandang profesional, laman Public Health Malaysia (PHM) turut mengakui bahawa isu ‘mall pet-friendly’ ini cepat memanas kerana ia melibatkan ruang kongsi.
Realitinya, Malaysia adalah negara majoriti Muslim. Sensitiviti terhadap anjing adalah wujud dan berasas. Walaupun ada pemilik haiwan yang bertanggungjawab, risiko tetap ada.
Dari sudut kesihatan awam, kawalan mesti jelas dan konsisten. Bukan sekadar meletakkan label ‘mesra haiwan’, tetapi perlu ada batas yang ketat. Zon larangan seperti medan selera (food court) dan ruang sempit mesti diwartakan dengan tegas.
Bagi pengunjung yang tidak selesa, mereka berhak untuk menyuarakan bantahan dengan tertib atau memilih premis lain yang lebih menghormati pelanggan. Ruang awam adalah tempat untuk hidup bersama, bukan tempat untuk satu kelompok memaksakan gaya hidup mereka kepada kelompok lain.
Boikot: Bahasa yang paling difahami
Jika teguran lisan dan bantahan di media sosial dipandang sepi, kuasa pengguna adalah senjata terakhir. Boikot bukanlah tindakan ekstrem, tetapi ia adalah cara paling sopan dan beradab untuk menghantar mesej kepada mereka:
”Kalau kamu tak hormat sensitiviti kami umat Islam, kami pun tak perlu sokong perniagaan kamu.”
Pihak pengurusan pasar raya perlu sedar, apabila angka jualan mula merudum, barulah mereka akan mengerti bahawa keangkuhan menolak sensitiviti tempatan mempunyai harganya yang tersendiri.
Jangan sampai slogan ‘Mesra Haiwan’ akhirnya memakan diri apabila premis menjadi sunyi daripada pengunjung manusia. – HARAKAHDAILY 19/12/2025











