PUTRA sifatkan rombakan Kabinet ‘Bendera Putih’

- Advertisement -

PUTRA tidak berminat bermain ayat manis atau analisis akademik. Rombakan kabinet terbaru ini adalah Kabinet Bendera Putih, iaitu kabinet yang menyerah jiwa dan raga demi mengekalkan kedudukan seorang Perdana Menteri. Tidak pernah berlaku dalam sejarah sesebuah bangsa apabila bangsa itu kalah dengan menyerah secara sukarela oleh seorang pemimpin yang dayus. Bercakap besar, tetapi rupanya tikus. Ini bukan rombakan pentadbiran. Ini ialah penyerahan kuasa secara terbuka. Persoalan sebenar bukan siapa yang dilantik, tetapi siapa yang memberi arahan dan siapa yang tunduk.

Fakta asasnya mudah: DAP mengugut, dan kabinet berubah. Tiada kebakaran, tiada bencana nasional, tiada krisis mendesak. Yang ada cuma ancaman politik, dan ancaman itu terus dibayar dengan kementerian strategik. Kementerian Wilayah Persekutuan, yang mengawal ibu kota Kuala Lumpur dan Putrajaya, jatuh dengan mudah seperti jatuhnya Sultan Melaka suatu ketika dahulu. Pulau Pinang sudah lama jatuh. Gabungan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Kerajaan Tempatan, yang menguasai bandar-bandar dan majlis daerah, kini tersungkur. Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha, digugurkan sebagai simbol penyerahan kalah. Menteri Agama, Datuk Naim, pula ditarik tauliah tanpa sebarang ‘kad merah’. Sebaliknya, mereka yang memiliki ‘kad merah’ dikekalkan walaupun prestasi di tahap longkang dan sarat dengan kontroversi. Tahniah kepada Menteri Pendidikan, Menteri Pertanian dan Menteri Pelancongan. Anda bertiga memang hebat luar biasa.

PUTRA bertanya secara terus terang tanpa berselindung: sejak bila ugutan menjadi manual rasmi pembentukan kabinet negara? Jika jawapannya ‘tidak’, maka Perdana Menteri wajib menjelaskan mengapa setiap kali DAP meninggikan suara, kerajaan segera tunduk dan menyusun kuasa mengikut nafsu DAP.

- Advertisement -

Lebih memalukan, Umno, parti yang kononnya pejuang Melayu, membisu seperti penonton. Kementerian yang mengawal ekonomi rakyat bawahan, perumahan, wilayah dan usahawan Melayu berpindah tangan, tetapi Umno memilih untuk senyap. Dalam politik, diam bukan kebijaksanaan. Diam ialah persetujuan pengecut. Timbalan Presiden Umno yang berkelulusan akauntan, bekas CEO Melayu pertama menerajui Mercedes-Benz dan bekas Menteri Besar, ditugaskan sebagai Menteri Luar. Ini kerana Presiden Umno takut dicabar oleh Timbalan Presidennya sendiri. Menteri untuk berdepan isu ART pula diserahkan kepada Naib Presiden Umno.

Jangan menipu rakyat dengan alasan ‘strategi’. Apabila Presiden Umno diam dalam isu sebesar ini, mesejnya jelas, iaitu jawatan lebih penting daripada maruah, kuasa lebih bernilai daripada prinsip. Nakhoda Umno hari ini bukan lagi panglima perang atau benteng bangsa, tetapi sekadar tangga untuk orang lain menjajah bangsa sendiri dengan mudah.

Apabila sebuah parti memiliki hak veto secara senyap terhadap kabinet, Perdana Menteri tidak lagi memimpin; dia cuma mengurus tekanan. Mandat rakyat tinggal hiasan, sementara ugutan menjadi kompas. Ini bukan kepimpinan. Ini pentadbiran dayus, bukan kehebatan yang ditonjolkan melalui retorik siang dan malam.

Hari ini kabinet berubah kerana DAP mengugut. Esok dasar berubah kerana tekanan. Lusa, kepentingan nasional dikompromi atas nama ‘kestabilan’. Negara yang ditadbir dengan rasa takut akan sentiasa menggadaikan masa depan demi menyelamatkan hari ini.

PUTRA ingin mengingatkan PMX dan Presiden Umno, orang Melayu tidak bodoh. Mereka melihat, menyimpan dan mengingati. Kesabaran bukan keampunan. Sejarah pilihan raya tidak ditulis oleh sidang media, tetapi oleh ingatan pengundi yang pernah dikhianati.

Sejarah negara ini kejam terhadap pemimpin yang mengekalkan kuasa dengan menjual prinsip. Mereka mungkin kekal seketika, tetapi akhirnya akan kehilangan kedua-duanya iaitu kuasa dan maruah. Ini bukan ugutan. Ini rekod sejarah yang berulang.

PUTRA menegaskan kepada orang Melayu dalam Umno, PH dan mana-mana parti bahawa keluar daripada kepimpinan yang menipu bukan pengkhianatan, tetapi pembetulan. Yang khianat ialah mereka yang menjadikan kesetiaan anda sebagai perisai untuk menyelamatkan kerusi sendiri. PUTRA tidak bertanya dari parti mana anda datang, tetapi berapa lama lagi anda sanggup ditipu atas nama disiplin dan kesetiaan palsu. Masih ada parti lain. Pintu terbuka luas, bukan untuk pelarian politik, tetapi untuk orang Melayu yang sedar, berani dan enggan terus diperalat. Dalam PUTRA, anda tidak diminta membuang prinsip lama, sebaliknya mengambil semula prinsip yang telah dicuri oleh pemimpin anda sendiri.

PMX tunduk kepada agenda ART Trump sama ada kerana mengejar glamor, atau kerana memang menjadi budak suruhan Amerika. Dalam masa yang sama, PMX tunduk kepada DAP demi mengekalkan kuasa yang parti sendiri tidak memiliki majoriti. Inilah Demokrasi Terpimpin yang mempersendakan rakyat. Tunggu, sejarah akan berulang.

DATO’ IBRAHIM ALI
Presiden PUTRA – HARAKAHDAILY 19/12/2025

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -